بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
KISAH
ZULQARNAIN
RINGKASAN
KISAH DAN TAFSIRAN AYAT-AYATNYA[1]
Syeikh Abdul Karim Zaidan
1. SIAPAKAH ZULQARNAIN
Allah s.w.t berfirman kepada NabiNya
Muhammad s.a.w :
﴿وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُو
عَلَيْكُمْ مِنْهُ ذِكْرًا﴾
“Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad), mengenai Zulqarnain, katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu
(wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya":[2]
Di dalam ayat
ini Allah s.w.t tidak menceritakan kepada kita siapakah yang bertanyakan soalan
ini kepada Nabi Muhammad s.a.w. Adakah golongan Yahudi ataupun kaum Musyrikin
Makkah ? Atau selain daripada mereka ?. Kita tidak tahu siapakah yang bertanya
soalan ini kepada Nabi s.a.w, tetapi siapa pun yang bertanya tidak bertambah
sedikit pun dalil kisah ini. Al Quran juga tidak menceritakan tentang siapakah
dia Zulqarnain, zaman bilakah dia hidup dan di manakah dia tinggal ? Ini adalah
tanda yang berterusan daripada kisah-kisah al Quran. Bukanlah maksud ia
datangkan sejarah sesuatu kisah secara terperinci tetapi yang pentingnya adalah
pengajaran daripada kisah tersebut. Pengajaran itu sebenarnya tidak berhajat kepada waktu bila ia hidup
atau dimanakah ia tinggal.[3]
Al Quran juga tidak menceritakan kepada kita kenapakah ia digelar sebagai
Zulqarnain, walaubagaimanapun datang di dalam sebahagian riwayat yang lain ia
degelar dengan Zudhafiratain (iaitu orang yang memiliki dua pintalan rambut).[4]
2. ADAKAH
ZULQARNAIN SEORANG NABI ?
Sebahagian
ulama’ berpendapat dia adalah seorang raja yang soleh yang dikurniakan kerajaan
oleh Allah s.w.t serta ilmu, hikmah dan kekuasaan di bumi, dan tidaklah ia
seorang Nabi. Sebahagian mereka pula berpendapat dia seorang Nabi.[5]
Hakikatnya tidak ada di dalam al Quran secara jelas tentang kenabiannya, tetapi
yang jelasnya dia adalah seorang raja yang soleh yang beriman dengan Allah
s.w.t dan Hari Akhirat sebagaimana akan datang keterangannya selepas ini.
2. KEKUASAAN
ZULQARNAIN DI BUMI
Allah s.w.t
menceritakan kekuasaan Zulqaranain di bumi :
﴿إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ
شَيْءٍ سَبَبًا﴾
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya
kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan
tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.[6]
“Sesungguhnya
Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi” bermaksud diberikan
kekuatan, pemikiran, pentadbiran, dan harta yang banyak. Allah s.w.t juga
mengurniakannya kerajaan yang besar, tentera dan senjata peperangan. Allah
s.w.t mempermudahkannya memerintah dan membuka wilayah Islam serta membina
bangunan-bangunan. “Dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap
sesuatu yang diperlukannya” Iaitu jalan untuk melakukan sesuatu seperti
ilmu, kekuatan, alat-alat persenjataan dan mudah menyelesaikan pelbagai
masaalah.[7]
3. ZULQARNAIN SAMPAI KE TEMPAT MATAHARI
TERBENAM
Zulqarnain ingin pergi ke tempat matahari
terbenam :
﴿فَأَتْبَعَ سَبَبًا﴾
“Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan
maksudnya).[8]
Lalu ia sampai
ke sana.[9]
Kemudian firman Allah s.w.t :
﴿حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي
عَيْنٍ حَمِئَةٍ﴾
“Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari
terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur”[10]
Maksud tempat
matahari terbenam adalah suatu tempat yang apabila seseorang melihat matahari di tepi pantai seolah-olah terbenam
di dalam air. Zahir pada ayat ini Zulqarnain telah berjalan menuju ke barat dan
sampai ke tepi pantai lautan Anlantik yang dinamakan sebagai Laut Hitam[11],
dan dia melihat di sana matahari terbenam.
Pendapat yang
paling rajihnya adalah Zulqarnain telah sampai ke muara salah satu sungai yang
banyak rumput atau rumpai dan di sekelilingnya pula terdapat banyak lumpur.
Terdapat juga kolam seolah-olah mata air lalu ia lihat di sana matahari
terbenam sebagaimana mafhum ayat “Ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air
yang hitam berlumpur”[12]
4. APAKAH
YANG ZULQARNAIN JUMPA KETIKA SAMPAI DI DAERAH MATAHARI TERBENAM ?
Firman Allah
s.w.t menceritakannya :
﴿وَوَجَدَ عِنْدَهَا قَوْمًا قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا
أَنْ تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَنْ تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا﴾
“Dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang
kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai
Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak
secara baik terhadap mereka".[13]
Zulqarnain telah
berjumpa dengan suatu kumpulan manusia yang kafir dan Allah s.w.t memberi
pilihan kepadanya adakah mahu menghukum mereka atau bertindak dengan cara yang
baik, samaada dibunuh atau ditawan. Kata Imam at Thobari mereka akan dibunuh
jika mahu terus di dalam kekufuran.[14]
5. HUKUMAN
ZULQARNAIN TERHADAP KAUM YANG BERADA DI DAERAH MATAHARI TERBENAM
Firman Allah
s.w.t :
﴿قَالَ أَمَّا مَنْ ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ
إِلَى رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُكْرًا﴾
“Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan
kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan
dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang
seburuk-buruknya”.[15]
“Melakukan
kezaliman” bermaksud mahu terus berada di dalam kekufuran dan kesyirikan. “Maka kami akan menyeksanya” iaitu kami
akan membunuhnya. “Kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu
diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya” iaitu akan diazab
dengan azab yang tidak terhingga pedihnya.[16]
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَى
وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا﴾
“Adapun orang yang beriman serta beramal
soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya
perintah-perintah kami yang tidak memberati".[17]
Iaitu orang yang
beriman yang mengikut kami menyembah Allah s.w.t dan tidak mensyirikkannya. “maka
baginya balasan yang sebaik-baiknya” iaitu di akhirat kelak di sisi Allah
s.w.t. “dan Kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang
tidak memberati" iaitu dengan perintah yang ma’ruf.[18]
6. ZULQARNAIN
SAMPAI KE DAERAH MATAHARI TERBIT
Firman Allah
s.w.t :
﴿ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا (89) حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ
الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَى قَوْمٍ لَمْ نَجْعَلْ لَهُمْ مِنْ دُونِهَا
سِتْرًا﴾
89. Kemudian
ia berpatah balik menurut jalan yang lain. 90. Sehingga apabila ia sampai di
daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum kang kami
tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.[19]
Allah s.w.t
menceritakan Zulqarnain telah menempuh satu perjalanan sehinggga sampai ke
daerah matahari terbit dan berjumpa dengan suatu kaum “Ia mendapatinya
terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang
perlindungan daripadanya” iaitu tidak ada sebarang binaan bagi mereka untuk
tinggal dan tidak ada sebarang pokok untuk berteduh daripada panas cahaya
matahari. Firman Allah s.w.t :
﴿كَذَلِكَ وَقَدْ
أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا﴾
“Demikianlah
halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada
padanya”[20]
Allah s.w.t
mengetahui betapa besar kekuasaan yang dimiliki oleh Zulqaranain yang
dikurniakan kepadanya dan Allah s.w.t meneliti segala gerak kerjanya, tidak ada
sesuatu pun yang tersembunyi daripadaNya.[21]
7. ZULQARNAIN
SAMPAI DI ANTARA DUA GUNUNG
Firman Allah
s.w.t :
﴿ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا (92) حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ
السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا﴾
92.
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. 93. Sehingga apabila ia
sampai di antara dua tembok (gunung), ia dapati di sisinya satu kaum yang
hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.[22]
Iaitu Zulqarnain
menempuh perjalannya yang ketiga bertentangan dengan arah barat dan timur.
Firman Allah s.w.t “Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung” di
antara dua gunung itu terdapat tempat laluan “Ia dapati di sisinya satu kaum
yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan” Zulqaranain
mendapati di belakang dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak memahami
sebarang perkataan kerana bahasa mereka amat berbeza dengan bahasa masyarakat
di tempat lain, walaubagaimanapun mereka memahami apabila diterjemah atau
menggunakan dengan bahasa isyarat.[23]
8. YA’JUJ DAN
MA’JUJ MELAKUKAN KEROSAKAN
Firman Allah
s.w.t :
﴿قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ
مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ
بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ
فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا﴾
94. Mereka
berkata: "Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa
melakukan kerosakan di bumi oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan
sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau
membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" 95. Dia menjawab:
"(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih
baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang
kukuh.[24]
Kaum yang berada
di belakang dua bukit itu berkata kepada Zulqarnain sesungguhnya Ya’juj dan
Ma’juj suka melakukan kerosakan dan memusnahkan tanaman.[25]
Mereka menawarkan kepadanya dengan upah yang besar sekiranya Zulqarnain sudi
membina tembok di antara mereka dan Ya’juj dan Ma’juj. Walaubagaimanapun
Zulqarnain berkata “Segala apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepadanya
dengan kerajaan, harta dan kekuasaan lebih baik baginya daripada harta yang
kamu himpunkan dan aku tidak perlu kepadanya. Cuma yang aku harapkan adalah
kamu perlu membantuku untuk membuat tembok penutup yang kukuh ini”.[26]
9. ZULQARNAIN
MEMBINA TEMBOK BAGI MENGHALANG GANGGUAN YA’JUJ DAN MA’JUJ
Allah s.w.t
menceritakan Zulqarnain berkata :
﴿آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ
الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي
أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا﴾
“Bawalah kepadaku ketul-ketul besi, sehingga
apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia
pun memerintahkan mereka supaya membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan
alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti
api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan
atasnya".[27]
Zulqarnain memerintahkan
agar dibawakan kepadanya potongan-potongan besi untuk ditimbunkan di atas
belahan di antara dua gunung supaya ia dapat menutup dengan besi tersebut,
sehingga timbunan itu sama tinggi dengan puncak bukit itu. Kemudian Zulqarnain
berkata “Tiuplah ke atas api itu untuk memanaskan besi tersebut sehingga
menjadi seperti api yang kemerah-merahan dan Zulqarnain memerintahkan dibawa
datang tembaga yang cair untuk dituangkan di atas tembok supaya menjadi kukuh.[28]
10. YA’JUJ
DAN MA’JUJ TIDAK MAMPU MEMECAHKAN TEMBOK
Allah s.w.t
berfirman tentang kelemahan Ya’juj dan Ma’juj untuk memecahkan tembok :
﴿فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ
نَقْبًا﴾
“Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu,
dan mereka juga tidak dapat menebuknya.[29]
Zulqarnain telah
membina tembok pada lurah dua gunung sehingga sama tinggi dengan gunung tersebut
dan mereka tidak akan mampu menembusnya, dia telah menutup jalan ke atas Ya’juj
dan Ma’juj daripada keluar. Mereka tidak dapat memanjatnya kerana terlalu
tinggi dan licin untuk keluar daripadanya.[30]
11. APAKAH
YANG DIKATAKAN OLEH ZULQARNAIN SELEPAS SELASAI MEMBINA TEMBOK
Allah s.w.t menceritakan
:
﴿قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي
جَعَلَهُ دَكَّاءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا﴾
(setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini
ialah suatu rahmat dari Tuhanku; Dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku,
Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu
benar".[31]
“Ini ialah
suatu rahmat dari Tuhanku” bermaksud penghalang yang ia jadikan di antara
mereka dan Ya’juj dan Ma’juj menyebabkan mereka tidak mampu lagi melakukan
kerosakan di muka bumi. Sehinggalah sampai
pada masa yang takdirkan oleh Allah s.w.t tembok itu akan binasa dan menjadi
samarata dengan bumi.[32]
Demikianlah
Zulqarnain dia tidaklah merasa bangga atau sombong apabila melihat tembok yang ia bina. Hanyasanya ia mengatakan
ini adalah rahmat daripada Allah s.w.t dan mengingatkan akan sampai suatu masa
nanti bukit ini akan runtuh menjadi rata sebelum tiba Hari Kiamat.[33]
Dia mengingatkan
kaum Muslimin tentang kurniaan Allah s.w.t apabila mendapat kejayaan yang
besar. Jangan merasa besar diri, kagum pada diri sendiri, sombong dengan
manusia dan segala sifat-sifat yang tercela yang tidak sepatutnya berada pada
diri manusia. Dan kami akan menceritakan pengajaran-pengajaran yang boleh diambil
di dalam kisah Zulqarnain ini bagi pendakwah dan gerakan Islam InsyaAllah.[34]
PENGAJARAN-PENGAJARAN
BAGI
PENDAKWAH DARIPADA KISAH ZULQARNAIN[35]
1. KEKUASAAN
DI BUMI ADALAH KURNIAAN ALLAH S.W.T KEPADA HAMBANYA
Allah s.w.t
telah mengurniakan Zulqarnain dengan kekuasaan di muka bumi ini pada suatu
ketika dahulu. Kebanyakan pendapat ulama’ tafsir yang dimaksudkkan dengan
kekuasaan adalah kerajaan yang kuat dan mampu mengalahkan segala musuh-musuhnya.
Allah s.w.t memberikannya ilmu untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang ia
hadapi.
Maka tidaklah
menjadi suatu kesalahan apabila sesebuah gerakan Islam itu bercita-cita untuk
berkuasa untuk melaksanakan syariat Islam dan meninggikan kalimahNya kerana
kekuasaan itu adalah nikmat daripada Allah s.w.t. Dan mengharap mendapatkan
nikmat Allah s.w.t itu adalah suatu perkara yang masyru’. Walaubagaimanapun
wajib ke atas pendakwah dan gerakan Islam itu mempersiapkan diri mereka dengan
ilmu pengetahuan dan meningkatkan bilangan mereka.
Sebagaimana
hendaklah ke atas pendakwah itu menjelaskan kepada kaum Muslimin ketika
memberi nasihat kepada mereka, hendaklah
mereka berusaha mendapatkan kekuasaan yang luas dengan kekuatan, ilmu agama
yang dalam dan berpegang kepada tali Allah s.w.t yang kukuh, serta bersatu di
kalangan mereka. Memperbanyakkan pendokong-pendokong dan bergambung dengan
gerakan Islam. Para pendakwah itu hendaklah menujukan nasihat-nasihat mereka
kepada pemerintah supaya mereka ingat akan nikmat kekuasaan yang diberikan oleh
Allah s.w.t di muka bumi ini. Menuntut kepada mereka supaya beriltizam dan
melaksanakan segala tuntutannNya melalui pelbagai wasilah atau cara.
2. KELUAR
DARIPADA KEKANGAN KEROSAKAN DAN MENINGGIKAN KALIMATULLAH DI BUMI.
Pemerintah yang
baik itu akan berusaha untuk keluar daripada kekangan kerosakan dan berusaha
untuk meninggikan agama Allah s.w.t di bumi ini. Dia hendaklah melakukan
sebagaimana yang dilakukan oleh Zulqarnain dengan meninggikan agama Allah s.w.t
daripada barat sehingga ke timur. Pemerintah Muslim itu apabila ia kuat hendaklah
ia keluar ke wilayah-wilayah kafir menundukkan mereka supaya tunduk kepada
hukumannya sekalipun mereka menolak Islam. Maka tidak sepatutnya bagi orang
kafir itu menghukum ke atas orang-orang Islam kerana hukuman-hukuman thoghut
itu adalah kemunkaran yang amat besar. Dan di antara kewajipan-kewajipan
pemerintah Islam itu adalah menghilangkan kemunkaran ini, menyeru kepada Allah
s.w.t dan meninggikan kalimahNya. Maka ke atas pendakwah itu hendaklah mereka
menjelaskan hakikat ini kepada manusia dan pemerintah kerana di antara
makna-makna Islam itu adalah mereka menyeru kepadanya.
Pemerintah Islam
juga hendaklah mengukuhkan para pendakwah supaya mereka dapat menyebarkan Islam
di kalangan kaum Muslimin. Para pendakwah hendaklah mengingatkan golongan pemerintah
tentang kewajipan ini. Apabila golongan pemerintah tidak melakukannya, mereka
hendaklah mengutuskan para pendakwah ke setiap pelosok negeri dan luar negeri,
dan ini adalah di antara kewajipan pemerintah kaum Muslimin. Apabila pemerintah
lalai melakukan kewajipan ini, maka para pendakwah hendaklah menuntut orang
awam di kalangan Muslimin melaksanakan
kewajipan ini untuk menyebarkan Islam, mengajar manusia tentang hukum-hakam
Islam dengan mewujudkan sekolah-sekolah agama yang boleh melahirkan para ulama’
dan pendakwah.
3. MEMBEZAKAN
DI ANTARA ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN DAN KEBAIKAN DI DALAM KEDUDUKAN DAN
BALASAN
Di antara siasah
atau politik yang bijak yang boleh diambil pengajaran oleh para pemerintah
Islam daripada kisah Zulqarnain dan mereka yang menyebarkannya di kalangan
manusia serta perlu mengingatkan pemerintah adalah : Membezakan di antara orang
yang melakukan kejahatan dan kebaikan juga di antara orang yang zalim dan adil.
Orang yang zalim
itu berhak dihalang dan dikenakan tindakan, dan orang yang adil itu pula berhak
dimuliakan dan mendapat balasan yang baik. Politik inilah yang ditunjukkan oleh
Zulqarnain dan Allah s.w.t menceritakannya kepada kita. Ayat ini menujukkan
Allah s.w.t redha kepadanya :
﴿قَالَ أَمَّا مَنْ ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ
إِلَى رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُكْرًا (87) وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ
صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَى وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا﴾
87. Ia
berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami
akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu
diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.88. Adapun orang yang
beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan Kami
akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati"[36]
Hakikatnya apa
yang dilakukan oleh Zulqarnain adalah politik yang bijak di dalam menghukum, ia
juga adalah sebahagian apa yang disuruh oleh syariat Islam. Firman Allah s.w.t
:
﴿أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ﴾
“Patutkah Kami jadikan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan
di muka bumi? atau patutkah kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti
orang-orang yang berdosa?[37]
Ayat ini
menunjukkan bahawa Allah s.w.t menafikan persamaan di kalangan orang yang
beriman dan orang yang kafir, juga di antara orang yang bertaqwa dan orang yang
zalim. Tidak sama sekali kedudukan mereka di dalam balasan di akhirat kelak
juga tidak ada persamaan di antara mereka ketika di dunia.[38]
4. MEMBANTU
ORANG-ORANG YANG DIZALIMI
Di antara
pengajaran lain yang boleh diambil di dalam kisah Zulqarnain adalah wajib kita
membantu orang-orang yang dizalimi sedaya mungkin tanpa mengharapkan balasan.
Memadailah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t ke atas orang-orang
yang mampu dengan harta di dalam membantu orang-orang yang dizalimi.
Sesungguhnya kita telah melihat bagaimana Zulqarnain sudi menolong satu kaum
yang dizalimi dengan membina tembok daripada gangguan Ya’juj dan Ma’juj.
Walaupun Zulqarnain ditawarkan dengan harta yang banyak, dia menolaknya dengan
baik dab berkata “Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepadaku itu lebih baik
daripada itu”. Tetapi tidaklah kita dihalang untuk meminta daripada mereka
sekadar apa yang berpatutan untuk melakukan tuntutan mereka. Kerana itulah
Zulqarnain meminta bantuan dengan kekuatan tenaga mereka untuk membina tembok
firman Allah s.w.t :
﴿قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ
أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى
إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا
قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا﴾
95. Dia menjawab:
"(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih
baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang
kukuh. 96. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi sehingga apabila ia terkumpul
separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun memerintahkan
mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu"
sehingga ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia:
"Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".
Maka para
pendakwah itu hendaklah sedaya upaya untuk membantu golongan yang dizalimi dengan
pelbagai cara sedaya mungkin, samaada dengan kedudukan mereka atau menasihati
mereka tentang kemurkaan Allah s.w.t. Mereka boleh meminta pertolongan daripada
orang yang dizalimi tetapi mereka tidak boleh meminta ganjaran daripada mereka
jika mereka masih di kalangan orang-orang yang kaya yang tidak memerlukan
kepada apa-apa bayaran.
5. MENOLAK
KEJAHATAN DENGAN CARA YANG PALING MUDAH
Tujuan
Zulqarnain membina tembok adalah untuk
menolak kejahatan Ya’juj dan Ma’juj. Dia berusaha untuk menyelesaikan
masalah ini dengan membina tembok daripada gangguan Ya’juj dan Ma’juj terhadap
kaum yang lemah dan tidaklah Zulqarnain memerangi mereka. Mungkin kerana
memerangi mereka lebih banyak kemudharatan daripada kebaikan atau memadai
sekadar membina tembok untuk menjaga orang-orang yang lemah . Ini adalah maksud
dan tujuan mereka.
Pengajaran
daripada peristiwa ini bagi pendakwah adalah para pendakwah itu hendaklah
menolak kemudharatan, kejahatan dan gangguan dengan cara yang paling mudah,
tidak perlu cara yang memberatkan mereka sehingga mengganggu kerja dakwah. Para
pendakwah juga tidak boleh merasa berat membantu golongan yang dizalimi, bahkan
mereka sepatutnya berlumba-lumba untuk membantu. Membantu golongan yang dizalimi itu adalah salah satu cara untuk
mendekati mereka. Nabi s.a.w bersabda :
وَاللَّهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِى
عَوْنِ أَخِيهِ
“Allah s.w.t akan sentiasa menolong seseorang hamba itu selagi mana dia
menolong saudaranya”[39]
6. MENGINGATI AKAN KURNIAAN ALLAH S.W.T APABILA DAPAT MELAKUKAN AMAL
SOLEH
Setelah Zulqarnain selesai membina tembok, dia tidak berasa sombong atau
besar diri dan menyandarkan usahanya ini kepada dirinya. Hanyasanya dia
mengingati akan kebesaran Allah s.w.t yang berlaku pada tangannya dan rahmat
daripadaNya kepada orang-orang yang lemah dengan memelihara mereka daripada
gangguan musuh.
Maka ke atas pendakwah itu janganlah berasa sombong, besar diri, atau
kagum pada diri sendiri apabila dapat
melakukan sesuatu perkara yang baik, atau berjaya melakukan sesuatu
kerja. Tetapi hendaklah para pendakwah itu mengingati kurniaan Allah s.w.t,
kalaulah bukan kerana kurniaan dan
bantuan daripada Allah s.w.t perkara yang baik itu tidak akan berjaya
dilakukan.
Mereka hendaklah mengingati kembali pendirian Nabi kita Muhammad s.a.w,
sesungguhnya Allah s.w.t telah mempermudahkan baginya untuk membuka Makkah dan
memasukinya dalam keadaan merendah diri kepada Allah s.w.t dan mengakui
kurniaannya. Sesungguhnya para pendakwah itu hendaklah mengingati peristiwa
ini, mereka hendaklah membuang perasaan kagum pada diri sendiri dan lupa kepada
nikmat Allah s.w.t kerana dengan pertolonganNyalah para pendakwah berjaya di
dalam dakwah mereka.
Terj : Mohd Faiz Abdullah
[1] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 345
[2] Surah al Kahfi 83
[3] Az Zhilal (juzu’ 4 hlm 2289)
[4] Ibn A’tiyyah (juzu’ 9 hlm 385)
Tambahan
penyusun : Daripada Ibn Abbas r.a berkata : “Zulqarnain adalah seorang raja
yang soleh dan Khidir a.s pula adalah pembantunya” Digelar sebagai Zulqarnain
adalah kerana dia memakai topi yang mempunyai dua tanduk. Pendapat lain
mengatakan dia memerintah merangkumi timur dan barat, wallhua’alam (Qasos
Anbia’ Ibn Kathir hlm 470)
[5] Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm 743)
[6] Surah al Kahfi 84
[7] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 83)
[8] Surah al Kahfi 85
[9] Al Kasysyaaf (juzu’ 2 hlm 743)
[10] Surah al Kahfi 86
[11] Tambahan penyusun : Dikatakan laut yang berlumpur hitam itu adalah
Laut Hitam, kerana jika kita mengambil gambar dari udara, semua lautan lain
airnya berwarna kebiru-biruan kerana dasarnya adalah pasir, kecuali hanya Laut
Hitam yang berwarna hitam kerana dasarnya berlumpur hitam. Laut Hitam ialah
lautan yang terletak di antara Eropah dan Asia Kecil dan merupakan sebahagian daripada Lautan
Atlantik. Ia dihubungkan dengan Laut Mediterranean melalui Selat Bosphorus dan Laut
Marmara, dan dengan Laut Azov melalui Selat Kerch. Dinamakan dengan Laut Hitam
adalah kerana warnanya yang gelap lagi luar biasa. Negara-negara yang
bersempadanan dengan Laut Hitam adalah Turki, Bulgaria, Romania, Ukraine, Rusia, dan Georgia (termasuk
wilayah Abkhazia).
Semenanjung Crimea ialah wilayah autonomi Ukraine. Bandar-bandar
penting sepanjang pesisir pantai termasuk: Istanbul, Burgas, Varna, Constanţa, Yalta, Odessa, Sevastopol, Kerch, Novorossiysk, Sochi, Sukhumi, Poti, Batumi, Trabzon, Samsun.- http://ms.wikipedia.org/wiki/Laut_Hitam
[12] Az Zhilal (juzu’ 4 hlm 2291)
[13] Surah al Kahfi 86
[14] Ibn A’thiyyah (juzu’ 9 hlm
397)
[15] Surah al Kahfi 87
[16] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 102)
[17] Surah al Kahfi 88
[18] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 102)
[19] Surah al Kahfi 89-90
[20] Surah al Kahfi 91
[21] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 103)
[22] Surah al Kahfi 92-93
[23] Ibn A’thiyyah (juzuz’ 9 hlm 401), Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 103)
[24] Surah al Kahfi 94-95
[25] Tambahan penyusun : Ibnu Katsir r.a menerangkan: Ya’juj dan
Ma’juj adalah dari keturunan Adam a.s dari keturunan Nabi Nuh a.s, dari anak
keturunan Yafits iaitu nenek moyang bangsa Turki yang terpenjara oleh benteng
tinggi yang dibangun oleh Zulqarnain. Bermakna mereka adalah berbangsa manusia.
Tidak seperti yang digambarkan oleh sebagian orang bahawa mereka bukanlah dari
keturunan manusia. Hanya saja mereka adalah orang-orang yang suka melakukan
kerosakan dan kemusnahan serta memiliki sifat dan perangai yang Allah s.w.t
takdirkan kepada mereka tidak seperti manusia pada umumnya.
Dalil
yang menunjukkan bahwa mereka dari jenis manusia keturunan Adam a.s adalah apa
yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dalam Kitabul Anbiya’ bab Kisah Ya’juj
dan Ma’juj.
[26] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 86), Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 104)
[27] Surah al Kahfi 96
[28] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 86), az Zhilal (juzu’ 3 hlm 2293)
Tambahan
penyusun : Sifat-sifat Ya`juj
dan Ma`juj
Walaupun
mereka dari jenis manusia keturunan Adam, namun mereka memiliki sifat khas yang
berbeda dari manusia biasa. Ciri utama mereka adalah perusak dan jumlah mereka
yang sangat besar sehingga ketika mereka turun dari gunung seakan-akan air bah
yang mengalir, tidak pandai berbicara dan tidak fasih, bermata kecil (sepet),
berhidung kecil, lebar mukanya, merah warna kulitnya seakan-akan wajahnya
seperti perisai dan sifat-sifat lain. Disebutkan dalam riwayat Al-Imam Ahmad rahimahullahu,
dari Ibnu Harmalah, dari pakciknya dia berkata:
Rasulullah
s.a.w berkhutbah dalam keadaan jarinya terbalut kerana tersengat kalajengking.
Beliau bersabda: “Kalian mengatakan tidak ada musuh. Padahal sesungguhnya
kalian akan terus memerangi musuh sampai datangnya Ya’juj dan Ma’juj, lebar
mukanya, kecil (sepet) matanya, dan ada warna putih di rambut atas. Mereka
mengalir dari tempat-tempat yang tinggi, seakan-akan wajah-wajah mereka seperti
perisai.” (Riwayat Ahmad)
[29] Surah al Kahfi 97
[30] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 87), az Zhilal (juzu’ 3 hlm 2293)
[31] Surah al Kahfi 98
[32] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 87), Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 105)
[33] Az Zhilal (juzu’ 3 hlm 2293)
[34] Tambahan penyusun : Ya`juj dan Ma`juj Sudah Ada Sekarang
Ya`juj
dan Ma`juj sudah ada dan terus dalam keadaan turun-temurun (beranak pinak),
tidak meninggal satu orang dari mereka, kecuali lahir seribu orang lebih.
Sebagaimana disebutkan dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma
yang diriwayatkan al Hakim rahimahullahu dalam Mustadraknya.
Namun
Alhamdulillah Allah s.w.ttelah bentengi mereka dari kita, iaitu dengan sebab
menakdirkan munculnya Zulqarnain yang dengan kemampuannya membuat benteng yang
terbuat dari besi dan tembaga.
[35] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 349
[36] Surah al Kahfi 87-88
[37] Surah Shaad 28
[38] Ahkam al Quran (juzu’ 3 hlm 1643)
[39] Riwayat Muslim (4948)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan