KISAH
LUQMAN A.S
KESIMPULAN
KISAH DAN TAFSIRAN AYAT MENGENAI WASIAT KEPADA ANAKNYA[1]
Syeikh Abdul Karim Zaidan
1. ADAKAH LUQMAN SEORANG NABI ?
Ikrimah dan as
Sya’bi berpendapat dia adalah seorang Nabi. Mujahid dan lainnya berpendapat dia
adalah seorang hamba Allah yang soleh. Sebahagian ulama’ berpendapat dia adalah
seorang wali Allah. Imam Qurthubi menyebut di dalam tafsirnya, yang paling
tepatnya mudah-mudahan dia adalah seorang yang bijkasana dengan mendapat hikmah
daripada Allah s.w.t iaitu dia seorang di kalangan wali Allah yang diberikan
dengan pelbagai hikmah.[2]
2. ALLAH
S.W.T MENGURNIAKAN LOQMAN KEBIJAKSANAAN
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ
وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ
غَنِيٌّ حَمِيدٌ﴾
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada
Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah
kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur
maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang
tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya
Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.[3]
Allah s.w.t
memerintahkan Luqman a.s agar mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepadanya,
khususnya kelebihan yang tidak diberikan selainnya pada waktu itu. Firman Allah
s.w.t “Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri”[4].
Iaitu manfaat dan pahala kembali kepada orang-orang yang bersyukur, firman
Allah s.w.t :
﴿مَنْ كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا
فَلِأَنْفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ﴾
“Sesiapa yang kufur ingkar maka dialah sahaja
yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang
membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk
kesenangan diri mereka masing-masing”[5]
Kemudian Allah
s.w.t befirman lagi : “Dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.
Ayat ini bermaksud Allah s.w.t Maha Kaya daripada hamba-hambanya, tidak ada
yang memberi mudharat kepadaNya sekalipun semua makhluk di alam semesta ini
kufur, sesungguhnya Dia Maha Kaya daripada sekelian makhlukNya.[6]
3. LUQMAN
MENASIHATI DAN MENGINGATKAN ANAKNYA TENTANG SYIRIK
Allah s.w.t
berfirman :
﴿وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ
لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ﴾
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada
anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya : "Wahai anak kesayanganku, janganlah
engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan
syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".[7]
Allah s.w.t
telah mengkhabarkan kepada kita tentang nasihat Luqman kepada anaknya, dia
adalah orang yang paling layak menerima anugerah Allah s.w.t pada waktu itu.
Maka seorang ayah itu tidak ada perkara yang ia inginkan kepada anak-anaknya
melainkan kebaikan. Kerana itulah dia menasihati anaknya agar menyembah Allah
s.w.t dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu. Dia berkata “Sesungguhnya
perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. Kerana menyamakan
Allah s.w.t dengan sesuatu itu adalah dosa yang amat besar.[8]
4. WASIAT
MENTAATI KEDUA IBU BAPA
Allah s.w.t
berfirman di dalam tajuk melakukan kebaikan pada kedua ibu bapa dan batas-batas
mentaati mereka :
﴿وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ
عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ
سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا
كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ﴾
“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan
denganku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui
sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan
mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk
kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh) kemudian kepada
Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala
yang kamu telah kerjakan.”[9]
Anak itu wajib
mentaati perintah kedua ibu bapanya, walaubagaimanapun mereka tidak boleh
mentaati dalam perkara maksiat. Sesungguhnya taat kepada mereka adalah
melakukan kebajikan tetapi apabila jatuh pada perkara maksiat kepada Allah
s.w.t, haram mereka lakukan, kerana taat itu hanya pada perkara yang disuruh
dan tidak boleh pada perkara yang dilarang. Allah s.w.t berfirman “Dan jika
mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan denganku sesuatu yang engkau -
dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau
taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik”.[10]
Ayat ini adalah
dalil hubungan ibu bapa yang kafir lagi fakir, kita perlu berkhidmat kepada
mereka dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar mereka mendapat hidayah
dengan Islam.[11] Firman
Allah s.w.t “Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu
(dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh)” Iaitu ikutlah jalan mereka yang
kembali kepada Allah, jalan Tauhid dan ikhlas di dalam mentaatiNya dan
melakukan amal soleh sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman.
Kemudian Allah s.w.t berfirman “Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,
maka aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan” Iaitu
sebagai kinayah daripada pembalasan amalan-amalan di akhirat.[12]
5. SEGALA SESUATU ITU AKAN DIHISAB OLEH
ALLAH S.W.T
Al Quran menceritakan Luqman menasihati dan
memberi wasiat kepada anaknya :
﴿يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ
فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا
اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ﴾
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata):
"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik
atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam
batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah
(untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya;
lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.[13]
Sesungguhnya
segala kejahatan dan kebaikan yang terbit daripada manusia walaupun kecil “Sekalipun
seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit
atau pun di bumi” akan di bawa di hadapan Allah s.w.t dan akan dihisab
olehNya kerana Dia Maha Mengetahui dan berkuasa ke atas sesuatu, seperti
firmanNya :
﴿فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَنْ
يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ﴾
7. Maka
sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat
amalnya)! 8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)![14]
6. PERINTAH
MENUNAIKAN SOLAT DAN PERKARA-PERKARA YANG LAIN
Luqman
mewasiatkan kepada anaknya :
﴿يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ
عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ
الْأُمُورِ﴾
"Wahai
anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas
segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.[15]
“Dirikanlah
sembahyang” bermaksud tunaikanlah segala rukun dan waktunya. “Dan
suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang
mungkar” bermaksud dengan segala kemampuan dan kesungguhan. “Dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu” bermaksud tugas menyuruh
manusia melakukan kebaikan dan melarang mereka melakukan kemungkaran tidak
dapat tidak mestilah mendapat tentangan daripada mereka, oleh yang demikian
pada waktu itu hendaklah bersabar. “Sesungguhnya yang demikian itu adalah
dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya” bermaksud bersabar ke atas segala tentangan manusia itu
adalah perkara-perkara yang memang dijangkakan berlaku yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.[16]
7. LARANGAN DARIPADA
SOMBONG
Luqman
mewasiatkan kepada anaknya :
﴿وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ
مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي
مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ
الْحَمِيرِ﴾
18. "Dan
janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia,
dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan
diri. 19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga
rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara
ialah suara keldai".
"Dan
janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia” bermaksud janganlah engkau memalingkan wajah daripada mereka apabila
engkau bercakap dengan mereka atau ketika mereka bercakap dengan engkau dalam
keadaan mengina mereka dan merasa besar diri, tetapi berlemah lembutlah,
sebagaimana datang di dalam hadith Nabi s.a.w :
كُلُّ مَعْرَوفٍ صَدَقَةٌ وَإِنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ أَنْ تَلَقَّى أَخَاكَ
بِوَجْهٍ طَلِق ٍ
“Setiap kebaikan itu adalah sedekah dan sesungguhnya di antara
kebaikan yang dianggap sedekah itu walaupun ia sekadar berwajah manis
(berseri-seri) pada saudaramu[17]
Firman Allah
s.w.t “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong”
Iaitu merasa megah dan besar diri. “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa
berjalan” Iaitu sederhana di antara merangkak dan berlari. “Juga
rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata)” Iaitu perlahankanlah suaramu
ketika bercakap jangan sehingga orang di sekeliling merasa terganggu, kerana
seburuk-buruk suara itu adalah suara keldai.[18]
PENGAJARAN-PENGAJARAN
BAGI
PENDAKWAH DARIPADA KISAH WASIAT LOQMAN KEPADA
ANAKNYA[19]
FAEDAH-FAEDAH YANG BANYAK DI DALAM
WASIAT LOQMAN KEPADA ANAKNYA
Apa yang boleh
diambil pengajaran daripada kisah ini adalah, Luqman tidak membiarkan anaknya
tanpa keprihatinan dan hala tuju. Beliau menasihati dan mengajarkan anaknya apa
yang ia perlu dan bermanfaat baginya. Maka tarbiah ibu bapa itu adalah di antara
kewajipan-kewajipan syariat. Sebagaimana wasiat Luqman kepada anaknya
merangkumi perkara-perkara aqidah, ibadah, akhlak dan mua’amalah. Wasiat Luqman
mengisyaratkan wajib ibu bapa itu menunaikan hak-hak ke atas ahli keluarganya.
Dan di antara pengajaran-pengajran yang lain adalah batas-batas ketaatan yang
wajib atau haram. Kami akan menyebutkan tentang perkara-perkara berikut :
1. KEPRIHATINAN IBU BAPA KEPADA
ANAK-ANAK MEREKA
Sesungguhnya di
antara kewajipan-kewajipan para pendakwah itu adalah memberi keprihatinan
kepada anak-anak mereka kerana anak-anak adalah manusia yang paling utama dan
paling berhak dengan keprihatinan serta didikan pada perkara agama dan
hukum-hakamnya. Tidak sepatutnya para pendakwah itu keluar berdakwah dan
meninggalkan anak-anak mereka tanpa diberi nasihat dan petunjuk. Kelalaian ini
banyak berlaku di kalangan para pendakwah. Allah s.w.t memerintahkan kepada
kaum Muslimin agar menjaga diri mereka serta ahli keluarganya daripada bakaran
api neraka, firmanNya:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ
نَارًا﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu dari neraka”[20]
Ayat ini
bermaksud hendaklah menjaga mereka daripada bakaran api neraka, dengan mengajar
mereka apa yang perlu pada urusan agama dan mengawasi mereka ketika mempraktikkannya.
Sebagaimana para pendakwah itu memberi peringatan kepada manusia di dalam khutbah
dan pengajian mereka tentang kewajipan-kewajipan ibu bapa pada anak-anak mereka
dari segi tarbiah Islamiah, mereka juga hendaklah memberi nasihat kepada
anak-anak mereka. Bagi saya alangkah baiknya kalau ibu bapa menjadikan manhaj ini
di dalam mendidik anak-anak mereka dengan wasiat Luqman kepada anak-anaknya.
2. DIDIKAN IBU
BAPA KEPADA ANAK-ANAK
Didikan oleh ibu
bapa kepada anak-anak samaada lelaki atau perempuan adalah merangkumi perkara
aqidah Islamiah, ibadah-ibadah yang diperintahkan oleh Islam dan juga akhlak
yang diperintahkan dengannya.
Maka di antara
perkara-perkara aqidah itu adalah mentauhidkan Allah s.w.t dan mengesakanNya
pada ibadat. Mengajar mereka bahawa Allah s.w.t sentiasa meneliti segala
amalan-amalan mereka tidak ada yang tersembunyi sesuatu pun. Sesungguhnya Allah
s.w.t akan menghitungnya sekalipun amalan itu seberat biji sawi. Demikian juga
kewajipan ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka, supaya mereka merasa
bertanggungjawab ke atas kesejahteraan masyarakat yang hidup di sekeliling
mereka. Didik mereka supaya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang
kemungkaran mengikut kemampuan yang ada. Galakkan mereka supaya bersabar
apabila disakiti atau ditentang di dalam melakukan amar ma’ruf nahi munkar,
kerana gangguan ini semestinya berlaku. Kerana itulah Luqman menasihati
anak-anaknya supaya bersabar segala ujian yang akan ditimpa apabila melakukan
tugas ini.
Sesungguhnya
Islam itu bukan sekadar memperbaiki diri sendiri tatapi mestilah di samping itu
berusaha memperbaiki orang lain. Maka ke atas pendakwah itu hendaklah mereka
menjelaskan segala makna-makna ini kepada manusia dan mengajar anak-anak mereka
dan jangan biarkan mereka lalai.
3. MENYUSUN
SEGALA HAK DAN KEWAJIPAN
Apa yang boleh
pendakwah dapat daripada istifadah kisah ini lagi adalah berkaitan dengan
susunan hak-hak dan kewajipan-kewajipan dari segi keutamaan atau prioriti
ketika melaksanakan, kita ambil pengajaran daripada ayat ini :
﴿أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ﴾
“Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua
ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima
balasan).[21]
Pertamanya
syukur kepada Allah s.w.t kerana Dia yang memberi nikmat kemudian berterima
kasih kepada kedua ibu bapa, kemudian hak ibu itu perlu didahulukan daripada
hak bapa. Maka ke atas pendakwah hendaklah mengambil perhatian tentang susunan
pada hak-hak dan kewajipan-kewajipan ini. Oleh yang demikian para pendakwah itu
mestilah bijak menyusun seseutu tindakan yang mana paling penting dan
menseimbangkannya.
4.
BATAS-BATAS KETAATAN YANG WAJIB DAN HARAM
Antara lain pengajaran
daripada apa yang datang di dalam kisah wasiat Luqman kepada anaknya adalah
anak-anak itu, mestilah mentaati segala perintah kedua ibu bapanya, selagi
perintah itu tidak melanggar perintah Allah s.w.t, ia adalah mafhum daripada
ayat :
﴿وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ
عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا﴾
“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan
denganku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui
sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka”[22]
Apabila kedua
ibu bapa itu menyuruh anaknya melakukan perkara yang dilarang oleh syara’
seperti syirik kepada Allah s.w.t maka haram mereka mentaatinya. Adapun
perintah melakukan perkara yang harus maka wajib anak mentaatinya.
Maka perkara ini
dapat dikiaskan pada jamaah Islam atau gerakan dakwah, hendaklah mereka
mentaati arahan jamaah yang tidak bertentangan dengan syara’ sahaja dan tidak
boleh mentaati pada perkara yang melanggar syara’.
Terj: Mohd Faiz Abdullah
[1] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 339
[2] Ibn A’thiyyah (juzu’ 11 hlm 489), Ibn Kathir (juzu’ 3
hlm 443), al Qurthubi (juzu’ 14 hlm 59)
Tambahan penyusun : Sesetengah ulama' mengatakan Luqman seorang
hamba berkulit hitam dari Sudan, bibirnya tebal dan tapak kakinya retak-retak.
Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang Sudan itu 3 orang iaitu Bilal bin
Robah, Mahja' hamba Saidina Umar dan Luqman. Orang keempat pula ialah an Najasyi
raja Habsyah yang beriman di zaman Nabi s.a.w.
Ada pula diceritakan bahawa Luqman itu
seorang hamba bangsa Habsyi, kerjanya sebagai tukang kayu atau pengembala kambing. Apabila bertemu seorang lelaki dia
bercakap penuh hikmah sehingga lelaki itu takjub lalu bertanya "Bukankah
engkau seorang gembala kambing?" Luqman menjawab "Benar". Lalu
tanya lelaki itu "Bagaimana engkau mencapai kedudukan bagini?" Luqman
menjawab " Aku mendapat dengan bercakap benar, memelihara amanah dan tidak
ambil tahu apa yang bukan urusanku".- Tafsir al Quran,
Pustaka Mizan, oleh Ahmad Sonhadji Mohamad
[3] Surah Luqman 12
[4] Ibn A’thiyyah (juzu’ 11 hlm 489),
[5] Surah Rum 44
[6] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 444)
[7] Surah Luqman 13
[8] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 444), az Zhilal (juzu’ 5 hlm
2788)
[9] Surah Luqman 15
[10] Ibn Kathir (juzu’ 3 jlm 445)
[11] Ibn A’thiyyah (juzu’ 12 hlm 496), al Qurthubi (juzu’
14 hlm 65)
[12] Al Qasimi (juzu’ 13 hlm 199), Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm
445)
[13] Surah Luqman 16
[14] Surah az Zalzalah 7-8
[15] Surah Luqman 17
[16] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 446), al Kasysyaf (juzu’ 3
hlm 496)
[17] Riwayat Tirmizi (1970)
[18] Al Qasimi (juzu’ 13 hlm 201)
[19] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm342
[20] Surah at Tahrim 6
[21] Surah Loqman 14
[22] Surah Luqman 15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan