بِسْمِ اللَّهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
KISAH SAIDINA MUSA A.S BERSAMA SAIDINA KHIDIR A.S
RINGKASAN
KISAH DAN TAFSIRAN AYAT-AYATNYA[1]
Syeikh
Abdul Karim Zaidan
1. SEBAB
BERLAKUNYA KISAH INI[2]
Imam Ibn Kathir telah mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan Kisah
Saidina Musa a.s bersama Saidina Khidir a.s[3]
: Sesungguhnya telah diberitahu kepada Nabi Musa a.s bahawa ada seorang hamba
Allah s.w.t dipertemuan dua lautan yang mempunyai ilmu lebih daripadanya,
menyebabkan dia pun pergi mengembara mancari hamba Allah tersebut. Beliau
menyebutkan sebuah hadith yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari daripada Ibn Abbas
r.a, daripada Ubai Bin Ka’ab r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :
أَنَّ مُوسَى
قَامَ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ فَسُئِلَ: أَيُّ
النَّاسِ أَعْلَمُ فَقَالَ أَنَا ,فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ إِذْ لَمْ يَرُدَّ الْعِلْمَ
إِلَيْهِ فَقَالَ لَهُ: بَلَى لِي عَبْدٌ بِمَجْمَعِ الْبَحْرَيْنِ
هُوَ أَعْلَمُ مِنْكَ
“Suatu ketika Nabi Musa a.s telah berkhutbah di kalangan Bani
Israel, tiba-tiba baginda ditanya oleh seseorang “Siapakah di kalangan manusia
yang paling alim” Lalu baginda menjawab “Aku” Lalu Allah s.w.t menegur baginda
kerana tidak mengembalikan jawapannya kepada Allah s.w.t, maka Allah s.w.t
berkata kepada baginda “Sesungguhnya Aku mempunyai seorang hamba di pertemuan
dua lautan dia lebih alim daripada engkau”[4]
Secari zohir maksud ibarat هُوَ
أَعْلَمُ مِنْكَ adalah
dia lebih alim daripada engkau dengan sesuatu yang khusus diberikan kepadanya.
Nabi Musa a.s tidaklah semua ilmu itu baginda mengetahuinya sebagaimana yang datang
pada perdapat Ibn Kathir yang telah kami sebutkan. Untuk menguatkan lagi
perkara ini saya mengatakannya, sebagaimana datang di hadith ini bahawa Musa
a.s ketika ia bertemu dengan Khidir a.s, baginda memohon untuk berkawan dengannya
untuk belajar. Maka Saidina Khidir a.s berkata kepada baginda “Sesungguhnya
engkau tidak mampu bersabar denganku”
Khidir a.s memberi sebab dengan berkata :
يا مُوسَى إِنّي
عَلى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللهِ عَلَّمَنِيْهُ لا تُعَلّمهُ أَنْتَ وَ أَنْتَ عَلى
عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللهِ عَلَّمَكَهُ اللهُ لا أَعْلَمُهُ
“Wahai Musa
sesungguhnya aku dikurniakan ilmu daripada Allah s.w.t yang Ia telah
mengajarkannya kepadaku apa yang tidak diketahui oleh engkau, dan engkau pula
dikurniakan ilmu daripada Allah s.w.t yang Dia telah mengajarkannya kepada
engkau apa yang tidak diketahui oleh aku”
Saya kembali kepada hadith Ibn Abbas r.a :
Nabi Musa a.s berkata “ Ya Allah bagaimana aku boleh bertemu dengan
hambaMu di pertemuan dua lautan yang lebih alim itu ? Kata Allah “Ambillah oleh
engkau seekor ikan dengan membawakannya di dalam sebuah bakul (yang diperbuat
daripada daun kurma), ketika ikan itu nanti telah hilang engkau akan berjumpa
dengannya” Baginda pergi mencari Khidir a.s bersama pembantunya Yusya’ Bin Nun,
baginda berkata kepadanya “Aku tidak mahu menyusahkan engkau melainkan engkau
hanya perlu memberitahu kepadaku apabila ikan ini tiada” Setelah sampai di
sebuah batu dipertemuan dua lautan baginda telah tertidur dan tanpa disedari
ikan yang dibawa itu pun melompat daripada bakul tersebut dan jatuh ke dalam
laut :
﴿فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا
فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا﴾
“Maka apabila mereka berdua
sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka,
lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di
bawah tanah”.[5]
Dan tidaklah pembantunya Yusya’ mengejutkannya daripada tidur.
Setelah Nabi Musa a.s tersedar bahawa Yusya’ telah terlupa mengkhabarkannya
tentang ikan tersebut, sehinggalah ke akhir cerita.
2. MUSA MENGEMBARA MENCARI KHIDIR A.S
Nabi Musa a.s telah berazam untuk mengembara mencari Khidir a.s dan
berjalan menuju ke sebuah tempat yang diberitahu kepadanya sambil ditemani oleh
Yusya’ Bin Nun. Allah s.w.t menceritakannya di dalam al Quran :
﴿وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ
لَا أَبْرَحُ حَتَّى أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا (60)
فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ
فِي الْبَحْرِ سَرَبًا (61) فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا
لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا (62) قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ
أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا
الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا (63)
قَالَ ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا (64)
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا
وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا (65)﴾
60. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada
temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat
pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".
61. Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut
itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh
jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
62. Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa
kepada temannya: "Bawalah makanan tengah hari kita sebenarnya kita telah
mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini".
63. Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita
berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku telah terlupa hal ikan itu; dan
tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu
melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut,
dengan cara yang menakjubkan".
64. Nabi Musa berkata: "Itulah yang kita kehendaki, mereka pun
balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
65. Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami
kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu;
dari sisi kami.[6]
Firman Allah s.w.t bermaksud “Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya (iaitu pembantunya)” Kalimah al Fataa di dalam bahasa Arab bermaksud pemuda kerana
kebiasaanya khadam itu adalah di kalangan pemuda. Penggunaan kalimah al Fataa
(pemuda) menunjukkan adab yang mulia sekalipun dia seorang yang berumur lanjut,
syara’ menggalakkanya, di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda :
وَلاَ يَقُلْ أَحَدُكُمْ عَبْدِي أَمَتِي وَلْيَقُلْ
فَتَايَ وَفَتَاتِي وَغُلاَمِي
“Janganlah kalian berkata
hambaku, tetapi katalah pemudaku atau pembantuku”[7]
Firman Allah s.w.t لَا
أَبْرَحُ bermaksud “Aku akan terus
berjalan” sehingga dapat memenuhi tujuanku iaitu bertemu dengan Khidir a.s di
pertemuan dua lautan : “sehingga aku sampai di tempat
pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".[8] Berkata Muhammad Bin Ka’ab al
Qarazi “Pertemuan dua lautan itu adalah sebuah tempat yang jauh di Maghrib”.
Hamba Kami yang dimaksudkan di dalam ayat ini jumhur ulama’ mengatakan adalah
Khidir a.s mengikut hadith-hadith yang sohih, penggunaan kalimah hamba adalah
untuk memuliakannya.
Firman Allah s.w.t “Diberikan rahmat dari sisi Kami”
bermaksud Kenabian dan “Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi kami”,
ilmu di sini adalah Ilmu Ladunni iaitu sejenis ilmu pimpinan Rabbani. Kata
Imam Ibn Athiyyah tentang ilmu yang diajarkan kepada Khidir a.s :
كَانَ عِلْمُ
الْخَضرِ عِلْمُ مَعْرِفَة بَوَاطِنَ قَدْ أُوْحِيَتْ إِلَيْهِ، لَا ُتعْطِي ظَوَاهِرَ
الْأَحْكَامِ أَفْعَالََهُ بِحَسَِبهَا، وَكَانَ عِلْمُ مُوْسَى عِلْمَ الْأحْكَامِ
وَالْفَتيَا بِظَاهِرِ أَقْوَالِ النَّاسِ وَأَفْعَالهِمْ.
“Ilmu yang diajarkan kepada Khidir a.s adalah ilmu makrifah yang
dalam juga diwahyukan kepadanya, tidak diberikan zahir-zahir hukum akan perbuatannya,
adapun ilmu yang diajarkan kepada Musa a.s pula adalah ilmu hukum-hakam dan
fatwa pada zahir perkataan dan perbuatan manusia”[9]
3. ADAKAH KHIDIR SEORANG NABI ATAU
WALI ?
Kebanyakan ulama’ berpendapat :
Sesungguhnya dia adalah seorang Nabi. Sebahagian yang lain pula berpendapat dia
adalah seorang wali. Pendapat yang sohih adalah dia seorang Nabi, dalilnya
adalah ayat:
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي
“Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri”[10]
Kerana secara zahir daripada ayat ini dia melakukannya atas perintah
Allah s.w.t iaitu dengan wahyu yang ia terima.[11]
4. ADAKAH KHIDIR MASIH HIDUP ATAU TELAH WAFAT ?[12]
Jumhur ulama’ berpendapat Khidir a.s telah pun wafat, kerana
sekiranya ia masih hidup nescaya ia bertemu dengan Nabi s.a.w. Sesungguhnya
diriwayatkan daripada Nabi s.a.w :
لَوْ كَانَ مُوْسَى حَيًّا بَيْنَ أَظْهَرِكُمْ مَا حَلَّ
لَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعُنِي
“Kalaulah Musa a.s masih hidup di kalangan kamu tidak
ada jalan lain baginya melainkan dia mesti mengikut syariatku”[13]
Kata Ibn Taimiah r.a : Sesungguhnya
Khidir a.s yang bersama Musa a.s itu telah pun wafat, kalaulah dia masih hidup
sehingga zaman Rasulullah s.a.w nescaya wajib ke atasnya mengikuti Nabi s.a.w
beriman dan berjihad bersamanya”.
Firman Allah s.w.t :
﴿وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ
مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ
لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى
ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ
الشَّاهِدِينَ﴾
“Dan (ingatlah) ketika Allah
mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya):
"Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmat yang Aku berikan kepada kamu,
kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada
pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu
bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada
mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan
janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar
(mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian,
maka saksikanlah kamu, dan aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."[14]
Kata Ibn Abbas : Allah s.w.t tidak mengutuskan Nabi melainkan Allah
s.w.t akan mengambil perjanjian setia ke atas umatnya, sekiranya para Nabi
dahulu diutuskan sewaktu Nabi Muhammad s.a.w
masih hidup nescaya mereka akan beriman dengannya dan menolong usaha
dakwahnya. Tidak disebut seorang pun di kalangan para sahabat bahawa mereka
pernah melihat Khidir a.s dan dia tidak pernah datang bertemu Nabi s.a.w.
Sesungguhnya para sahabat itu adalah golongan yang paling tahu dan
mampu mengenali tipu daya iblis. Iblis itu mampu mampu menyerupai seseorang dan
mengaku aku adalah Khidir sedangkan ia adalah iblis.[15]
Maka pendapat yang paling sohih itu adalah beliau telah pun wafat.
5. MUSA MENUNTUT ILMU DARIPADA
KHIDIR
Apabila Musa a.s bertemu dengan
Khidir a.s baginda pun berkata kepadanya sebagaimana diceritakan di dalam al
Quran :
﴿قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِ
مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا﴾
Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat
engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang dapat
menjadi petunjuk bagiku"[16]
Allah s.w.t menceritakan tentang Musa a.s akan seorang lelaki yang
alim iaitu Khidir a.s, yang telah dikurniakan ilmu yang khusus tetapi tidak
dikurniakan kepadanya. Lafaz هَلْ
أَتَّبِعُكَ “Bolehkah aku mengikut engkau” menunjukkan satu adab yang baik. “Mengikut engkau” di sini
bermaksud bolehkah aku bersahabat dengan engkau supaya dapat mempelajari ilmu
yang telah diajar oleh Allah s.w.t kepada engkau, aku mohon petunjuk daripada
ilmu yang bermanfaat dan amal soleh dalam urusanku.
6. JAWAPAN KHIDIR KE ATAS TUNTUTAN MUSA A.S
Apabila Khidir mendengar tuntutan Musa itu beliau
berkata :
﴿قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (67) وَكَيْفَ
تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا﴾
67. Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak
sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. 68. Dan bagaimana engkau akan sabar
terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?[17]
Iaitu engkau tidak akan mampu bersahabat denganku apabila engkau
melihat aku melakukan sesuatu perkara yang menyalahi syariatmu, kerana aku
melakukan menurut ilmu yang diajar oleh Allah s.w.t kepadaku yang tidak diajar
kepada engkau dan engkau pula mendapat ilmu daripada Allah s.w.t yang tidak
diajar kepadaku.
Maka setiap kita adalah mukallaf dengan urusan-urusan daripada Allah
s.w.t kerana inilah, engkau tidak mampu bersahabat denganku, beliau berkata
lagi :“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak
mengetahuinya secara meliputi?” Iaitu aku tahu sesungguhnya engkau akan mengingkari
apa yang akan aku lakukan nanti kerana engkau tidaklah mengetahui hikmah
disebalik apa yang akan aku lakukan.[18]
7. JAWAPAN MUSA KE ATAS JAWAPAN KHIDIR
Allah s.w.t menceritakan jawapan Musa a.s ke atas jawapan Khidir a.s
:
﴿قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي
لَكَ أَمْرًا﴾
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah orang
yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".[19]
Iaitu engkau akan mendapatiku seorang yang bersabar apabila melihat
segala apa yang engkau lakukan, dan baginda mengkaitkan kesabarannya dengan
izin Allah s.w.t. Begitulah Musa a.s baginda amat berkeinginan untuk menuntut
dan menambah ilmu. Baginda berharap mampu bersabar bersamanya sehinggalah
Khidir menjelaskan hakikat segala apa yang ia lakukan yang tidak diketahui
olehnya. Musa a.s berjanji akan bersabar dengan izin Allah s.w.t dengan berkata
: “Dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu" Iaitu baginda
berjanji tidak akan membantah segala apa yang dilakukan oleh Khidir.[20]
8. APAKAH SYARAT KHIDIR KEPADA MUSA UNTUK BERKAWAN DENGANNYA ?
Allah s.w.t menceritakan syarat yang dikenakan oleh Khidir kepada
Musa supaya ia dapat menerima tuntutannya :
﴿قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّى
أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا﴾
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah
engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya
kepadamu".[21]
Iaitu janganlah engkau terus bertanya segala sesuatu yang menyalahi
pada pada ilmu engkau kerana engkau tidak akan mengetahui hikmah sebenarnya
sehinggalah aku akan menjelaskannya nanti segala-galanya.[22]
9. MUSA MENGINGKARI KHIDIR KERANA MEMBOCORKAN PERAHU
Firman Allah s.w.t :
﴿فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا
قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا﴾
“Lalu berjalanlah keduanya
sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa
berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu
menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu
perkara (kesalahan) yang besar".[23]
Allah s.w.t menceritakan tentang Musa a.s dan sahabatnya Khidir, sesungguhnya
sebelum mereka berjalan, Khidir telah mensyaratkan bahawa jangan bertanya
tentang sesuatu yang dianggapnya salah sehinggalah beliau menjelaskannya nanti.
Lalu mereka berdua menaiki sebuah perahu, apabila di tengah lautan beliau pun
bangun dan membocorkan kapal tersebut. Beliau telah mengeluarkan sekeping demi
sekeping papan daripada perahu itu dan menampalnya semula. Maka membantah oleh
Musa a.s dengan berkata : "Patutkah
engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu boleh menenggelamkan penumpang-penumpangnya?
Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara (kesalahan) yang besar".[24]
10. KHIDIR MENGINGATKAN MUSA TENTANG
SYARATNYA DAN MUSA MEMINTA MAAF
Allah s.w.t menceritakan tentang apa
yang dikatan oleh Khidir kepada Musa untuk mengingatkan tentang syaratnya
sebelum ini dan baginda memohon maaf kerana telah menyalahi syaratnya itu :
﴿قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا﴾
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak
sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"[25]
Iaitu perbuatan Khidir cuba membocorkan kapal itu adalah perkara
yang disyaratkan olehnya supaya baginda tidak boleh membantah kerana baginda
tidak tahu hikmahnya, ia mengandungi rahsia yang tidak diberitahu kepada
engkau.[26]
Nabi Musa memohon maaf :
﴿قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ
أَمْرِي عُسْرًا﴾
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan
aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang
kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".[27]
Nabi Musa a.s memohon maaf kepada Khidir kerana terlupa. Baginda
memohon agar Khidir tidak memberatkannya sehingga beliau meninggalkannya,
baginda berharap Khidir memudahkannya agar baginda dapat mengikutinya dan dapat
mamaafkannya.[28]
11. KHIDIR MEMBUNUH SEORANG BUDAK
DAN MUSA MEMBANTAHNYA
Firman Allah s.w.t :
﴿فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ
أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا﴾
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan
seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau
membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya
engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"[29]
Setelah mereka sampai di tepi pantai, mereka telah bertemu dengan
seorang budak, lalu Khidir membunuh budak tersebut. Apabila Musa melihatnya
baginda amat mengingkarinya daripada perkara pertama yang dilakukan oleh Khidir
dengan membunuh budak tersebut, baginda berkata : "Patutkah engkau
membunuh satu jiwa yang bersih” iaitu suatu jiwa yang wajib dipelihara
daripada dibunuh. Baginda berkata lagi “Sesungguhnya engkau telah melakukan
satu perbuatan yang mungkar!” Nabi Musa a.s amat membantah perbuatan Khidir
ini kerana jika hanya membocorkan kapal ia dapat dibaiki tetapi jika membunuh suatu jiwa yang tidak bersalah tidak
mampu untuk menghidupkannya semula.[30]
12. KHIDIR BERULANGKALI MENGINGATKAN MUSA TENTANG SYARATNYA
Firman Allah s.w.t :
﴿قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ
صَبْرًا﴾
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau
tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"[31]
Untuk menguatkan peringatan kepada Musa a.s beliau telah menambahkan
perkataan لك
“kepadamu”
sedangkan pada kali pertama Khidir mengingatkannya tanpa menggunakan
perkataan ini. Imam Zamakhsyari berkata tentang tambahan kalimah لك adalah teguran kerana tidak mengikut janji, baginda telah
mengingkari perbuatan Khidir sebelum ia menerangkan hikmah kepadanya, dan ini
adalah tanda sebagai kurangnya sabar kerana berulang buat kali kedua.[32]
13. MUSA BERAZAM AKAN MENTAATI SYARAT YANG DIBERIKAN
Firman Allah s.w.t :
﴿قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي
قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَدُنِّي عُذْرًا﴾
Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang
perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;
Sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian
disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".[33]
Nabi Musa a.s berazam untuk mengikuti syarat yang diberikan oleh
Khidir untuk tidak bertanya, jika baginda bertanya lagi selepas ini tidak
perlulah lagi engkau menjadikan aku sahabat engkau.[34]
Sesungguhnya engkau telah memaafkan aku berkali-kali, oleh kerana itu aku
mendapati tidak perlulah engkau bersahabat denganku jika aku bertanya selepas
ini.[35]
14. BANTAHAN TERAKHIR
DARIPADA MUSA
Firman Allah s.w.t menceritakan tentang mereka :
﴿فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا
أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ
يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا﴾
“Kemudian keduanya
berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar,
mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan
menjamu mereka, kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak
runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah
engkau berhak mengambil upah mengenainya!"[36]
Allah s.w.t menceritakan, setelah itu mereka pun berjalan lagi
sehingga sampai ke sebuah kampong, mereka telah meminta sedikit makanan dan
menjadi tetamu, tetapi penduduk kampong itu menolaknya, tidak lama setelah itu
mereka telah melihat sebuah dinding yang condong dan hampir roboh, lalu mereka
mendirikan dan membaikinya semula.
Telah datang di dalam athar bahawa Khidir telah menolak dinding
tersebut sehingga menjadi elok seperti sediakala dan ini adalah suatu perkara
yang mencarik adat yang berlaku pada tangannya. Pada waktu itu Musa pun berkata
: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”
Kerana mereka tidak mahu memberi kita makan dan menerima kita menjadi
tetamu sepatutnya kita tidak perlu bekerja kepada mereka secara percuma,
sedangkan kita berhajat kepada wang untuk membeli makanan.[37]
15. PERPISAHAN DI ANTARA MUSA DAN
KHIDIR
Akibat daripada bantahan atau
rungutan Musa tentang apa yang dilakukan Khidir terhadap dinding tersebut
menyebabkan mereka terpisah, Musa telah berkata : "Jika
engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya” Ia bukanlah soalan tetapi ia adalah bantahan apa yang dilakukan
oleh Khidir kerana tidak mengambil upah di atas pekerjaannya.[38]
Dan ini juga dianggap soalan yang paling
besar kerana Musa telah berjanji dengan Khidir bahawa baginda tidak akan
bertanya sehinggalah beliau menjelaskan sebab-sebabnya. Selepas bantahan Musa
ke atas Khidir tentang apa yang dilakukannya ke atas dinding, Khidir berkata
kepada Musa :
﴿قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ
بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا﴾
Khidir menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu,
aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau
tidak dapat bersabar mengenainya.[39]
Kerana engkau sendiri telah mensyaratkan ke atas diri engkau setelah
peristiwa aku membunuh seorang budak : "Jika aku bertanya kepadamu
tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku
sahabatmu lagi” dan : "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu,
aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau
tidak dapat bersabar mengenainya”
16. KHIDIR MENJELASKAN SEBAB IA MEMBOCORKAN PERAHU
Firman Allah s.w.t menceritakan tentang mereka :
﴿أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي
الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ
سَفِينَةٍ غَصْبًا﴾
“Adapun perahu itu adalah ia
dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut oleh itu, aku bocorkan dengan
tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja
yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat”.[40]
Perahu itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja sebagai
pengangkut orang ramai daripada pantai, oleh yang demikian aku membocorkannya
supaya nampak cacat, kerana mereka selepas ini akan melalui di hadapan raja
yang zalim yang suka merampas setiap perahu yang elok, apabila aku
membocorkannya raja itu nanti tidak akan merampasnya.[41]
17. KHIDIR MENJELASKAN SEBAB IA MEMBUNUH SEORANG BUDAK
Firman Allah s.w.t menceritakan tentang mereka :
﴿وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا
أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (80) فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا
رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا﴾
80. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang
beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang
zalim dan kufur. 81. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka
gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa,
dan lebih mesra kasih sayangnya.[42]
Kata Qatadah “Sesungguhnya kedua ibu bapa budak tersebut amat
gembira ketika ia dilahirkan tetapi amat sedih setelah ia dibunuh, kalaulah ia
masih kekal hidup nescaya dia akan membinasakan mereka, maka hendaklah orang
beriman redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Benarlah hadith Nabi s.a.w :
لا يَقْضِي اللهُ لَهُ شَيْئًا اِلّا كَانَ خَيْرًا لَهُ
“Allah s.w.t tidak menentukan sesuatu terhadap orang yang beriman
melainkan itu adalah baik baginya”[43]
Kata Khidir “ Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka
gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa,
dan lebih mesra kasih sayangnya.[44]
Kata Qatadah : Iaitu anak yang melakukan kebajikan kepada mereka
berdua.[45]
18. KHIDIR MENJELASKAN SEBAB IA
MENDIRIKAN SEMULA DINDING SECARA PERCUMA
Firman Allah s.w.t menceritakan tentang mereka :
﴿وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي
الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا
فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا
رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ
تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا﴾
“Adapun tembok itu pula,
adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada
"Harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang
yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat
mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu
(kepada mereka), dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku
sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang
engkau tidak dapat bersabar mengenainya".[46]
Dinding itu condong dan Khidir hanya
membaikinya. Kata Qatadah dan Ikrimah : Dibawah dinding tersebut telah ditanam
harta untuk dua orang anak yatim tersebut. “Dan bapa
mereka pula adalah orang yang soleh” ini adalah
dalil menunjukkan bahawa orang soleh itu memelihara zuriatnya berkat ibadah
mereka ketika di dunia, di akhirat kelak mereka akan mendapat syafaat dan di
angkat kedudukannya di syurga . Kata Ibn Abbas “Mereka berdua dipelihara dengan
kebaikan ayah mereka sekalipun tidak disebut kebaikannya kepada mereka”.
Firman Allah s.w.t : “Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat
mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu” Iaitu
Khidir mendirikan dinding tersebut untuk menjaga harta tersebut bagi mereka
berdua sehinggalah mereka besar dan dapat mengeluarkannya serta menggunakannya.
Firman Allah s.w.t : sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada
mereka). dan (ingatlah) Aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri” Iaitu
segala perkara yang dilakukannya adalah bukan mengikut fikirannya hanyasanya ia
adalah rahmat daripada Allah s.w.t terhadapa tuan perahu, ibu bapa budak yang
dibunuh dan dua orang anak lelaki yang soleh, dan tidaklah aku melakukan semua
ini mengikut ijtihad dan pandanganku tetapi ia adalah perintah daripada Allah
s.w.t. Pada dalil ini jelas ia adalah seorang Nabi.
Firman Allah s.w.t : “Demikianlah penjelasan tentang maksud dan
tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”[47]
PENGAJARAN-PENGAJARAN
BAGI
PENDAKWAH
DARIPADA KISAH MUSA BERSAMA KHIDIR [48]
1. MEMINTA UNTUK DITAMBAHKAN ILMU
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa
Musa a.s ingin bertemu dengan Khidir adalah untuk menuntut ilmu, kerana ilmu yang
ada pada Khidir tidak diajarkan kepadanya. Keinginan tersebut tidaklah
menghalangnya walaupun baginda adalah seorang Rasul Kalamullah. Kitab Taurat pula
diturunkan kepadanya, ia adalah petunjuk yang amat besar. Musa a.s amat
berharap dapat bertemu dengan Khidir a.s dan dapat menuntut ilmu dengannya.
Baginda telah memohon kepada Allah
s.w.t supaya menunjukkan kepadanya jalan untuk sampai kepadanya, dan Allah
s.w.t menunjukkannya jalan sebagaimana yang telah kami ceritakan di atas. Bukti
yang paling besar adalah kesungguhan Musa a.s untuk menambah ilmu. Maka
sepatutnya ke atas pendakwah hendaklah sentiasa setiap masa berusaha untuk
menambah ilmu kerana terdapat banyak lagi ilmu yang kita tidak ketahui
sedangkan apa yang diberi kepada kita adalah amat sedikit, firman Allah s.w.t :
﴿وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا﴾
“Dan
kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".[49]
Kerana itulah Allah s.w.t memerintakan Nabi kita Muhammad s.a.w
supaya sentiasa memohon kepadaNya agar ditambahkan ilmu, firman Allah s.w.t :
﴿وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا﴾
“Dan
berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku".[50]
Iaitu “Ya Allah tambahkanlah ilmuku daripada sisiMu” dan
tidaklah Allah s.w.t menyuruh RasulNya melainkan memohon agar ditambahkan ilmu.[51]
2. MAKSUD ILMU YANG PERLU DIMINTA TAMBAH
Imam A’sqalani berkata di dalam syarah Sohih al Bukhari tentang
firman Allah s.w.t :
﴿وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا﴾
“Dan berdoalah dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku".[52]
Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini
adalah ilmu-ilmu syara’ yang wajib ke atas hamba yang mukallaf tentang urusan
agamanya seperti ibadat dan mua’amalat, dan ilmu mengenali Allah s.w.t serta
sifat-sifatnya, dan apa yang wajib baginya untuk melaksanakan segala suruhanNya
dan membersihkan dirinya daripada segala kekurangan.[53]
Bagi saya ilmu yang wajib diminta
tambah itu adalah ilmu fardhu ain iaitu ilmu syara’ dan segala jenis-jenisnya
sebagaimana yang telah disebut oleh Imam A’sqalani. Di antara lain adalah ilmu
fardhu kifayah yang wajib ada pada umat Islam, iaitu setiap apa yang diperlukan
oleh umat Islam untuk digunakan bagi manfaat kaum Muslimin dan seluruh manusia
umumnya, kerana ilmu yang bermanfaat itu termasuk di dalam ilmu yang yang
disukai oleh syara’. Kerana itulah datang di dalam doa Nabi s.a.w yang
dikeluarkan oleh Tirmizi dan disebut oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya :
اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا
عَلَّمْتَنِي َوعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي وَزِدْنِي عَلْمًا
“Ya Allah kau manfaatkanlah segala
apa yang kau ajarkan kepadaku, dan ajarkanlah kepadaku segala ilmu yang
bermanfaat, serta tambahkanlah ilmu dari sisiMu”[54]
Sebagaimana yang diketahui segala
ilmu fardhu kifayah itu adalah ilmu-ilmu moden yang digunakan pada setiap
lapangan aspek kehidupan, seperti ilmu perindustrian, persenjataan, perubatan,
kimia, fizik, falak, pertanian dan mengkaji penciptaan Allah s.w.t. Semua ilmu
ini menunjukkan keyakinan bahawa Allah s.w.t itu adalah Pencipta alam ini,
Tuhan sekelian alam, Tuhan yang Maha Esa yang tidak ada Tuhan yang layak
disembah melainkan Dia.
3. PENDAKWAH DAN MEMINTA DITAMBAHKAN
ILMU
Di galakkan pada kumpulan pendakwah
selain mendalami ilmu-ilmu syara’ mereka juga hendaklah mempelajari ilmu-ilmu
lain yang bermanfaat yang amat diperlukan pada setiap lapangan kehidupan
seperti ilmu fizik dan persenjataan.
4. MENGEMBARA MENUNTUT ILMU
Jika menuntut ilmu dan meminta
supaya ditambahkan itu adalah perkara yang disukai syara’, maka mengembara
mencarinya juga adalah suatu yang disukai. Sesungguhnya kami telah menyebut
tentang pengembaraan Musa a.s memcari Khidir a.s untuk menuntut ilmu, selepas
baginda memohon kepada Allah s.w.t agar menunjukkan kepadanya jalan untuk
sampai kepada Khidir dan Allah s.w.t mengabulkan permintaannya.
5. PENDAKWAH DAN MENGEMBARA MENUNTUT
ILMU
Di antara cara umat salafsussoleh di
kalangan para sahabat dan tabien dahulu, mereka sentiasa mengembara untuk
menuntut ilmu, sehingga ada di kalangan mereka yang mengembara daripada Madinah
ke Syam atau ke Mesir, semata-mata kerana mahu mendengar satu hadith daripada
orang yang pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w.
Pengembaraan menuntut ilmu ini
menjadikan Imam Bukhari meletakkannya di dalam satu bab yang khusus iaitu Bab
Mengembara Menuntut Ilmu. Beliau berkata di dalam bab ini bahawa “Jabir Bin
Abdullah mengembara selama sebulan kepada Abdullah Bin Unais untuk mendapatkan
satu hadith”.
Imam A’sqalani menambahkan di dalam
bab ini : Sesungguhnya Abdullah Bin Masu’d berkata “Kalaulah aku mengetahui
seseorang yang lebih alim tentang Kitab Allah daripadaku nescaya akanku
mengembara kepadanya” .
Diriwayatkan daripada Imam Malik
daripada Said Bin al Musayyab dia berkata “Aku pernah mengembara
berhari-hari untuk mendapat satu hadith.[55]
6. DI GALAKKAN PARA PENDAKWAH ITU
BERGABUNG MENGEMBARA MENUNTUT ILMU
Sesungguhnya digalakkan pada
golongan pendakwah yang mampu itu bergabung sesama mereka untuk mengembara
menuntut ilmu yang bermanfaat, sekalipun terpaksa mengembara ke negeri-negeri
kafir dan menuntut ilmu daripada tangan mereka, walaubagaimapun tidak harus mengembara
ke sana jika hendak memuntut ilmu-ilmu syariat atau sejarah Islam.
7. KESUKARAN KETIKA MENUNTUT ILMU
Kesukaran dan kesabaran itu adalah
perkara biasa yang mesti ditempuhi oleh para
penuntut ilmu. Ilmu pada hakikatnya mestilah mendapatkannya dengan penuh
kesabaran, maka ke atas pendakwah itu mestilah faham apabila menghadapinya.
Sebagaimana Musa a.s walaupun baginda adalah seorang Rasul Kalamullah, baginda
sanggup menempuh kesusahan untuk bertemu dengan Khidir dan menuntut ilmu
daripadanya. Dan hendaklah menuntut ilmu itu dengan mengharap keredhaan Allah
s.w.t semata-mata.
8. MERENDAH DIRI KETIKA MENUNTUT ILMU
Sesungguhnya sifat merendah diri itu
adalah amat penting bagi setiap penuntut ilmu terutamanya ketika ia menuntut
ilmu daripada gurunya, mendengar daripadanya dan memberi tumpuan secara jelas
apa yang ia ajarkan. Kami melihat bahawa Musa a.s amat merendah diri kepada
Khidir, baginda berharap dapat bersahabat dengannya dan berazam tidak akan membantah
segala apa yang ia perintahkan.
Para pendakwah hendaklah faham
perkara ini dan hendaklah ia membuang sifat sombong dari dalam dirinya yang
boleh menghalangnya daripada mendapat ilmu. Hendaklah dia merendah diri pada
setiap orang yang ia belajar dengannya. Dia hendaklah mengetahui bahawa orang
yang tiada sifat rendah diri serta menjadi sombong, akan hilang sesuatu yang
amat besar.
Kata Imam Mujahid “Tidak boleh
orang yang malu dan sombong itu menuntut ilmu”[56]
Orang yang malu itu adalah orang yang menghalangnya daripada bertanya
sesuatu yang bermanfaat dan diperlukan baginya. Maka malu ini adalah tercela
kerana membawa kepada meninggalkan kepada perkara yang masyru’ sedangkan ia
belajar. Adapun malu yang terpuji itu adalah sifat yang tidak menghalangnya
daripada bertanya sesuatu perkara yang ia jahil. Kata Saidatina A’isyah r.a :
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ
يَمْنَعْهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ
“Sebaik-baik kaum wanita itu adalah wanita Ansor
kerana mereka tidak malu untuk mendalami di dalam perkara agama”[57]
Sebagaimana orang yang malu tidak
bertempat itu tidak boleh menuntut ilmu, maka sama juga bagi mereka yang
sombong tidak mahu merendah diri, kerana sombong juga menyebabkan ia tidak mahu
bertanya perkara yang ia tidak ketahui.
9. MUKASYAFAH (MENYINGKAP),
MUSYARATHAH (MELETAKKAN SYARAT), DAN MUBAYA’AH (IKRAR TAAT SETIA) DI ANTARA
JAMA’AH ISLAM DAN ORANG-ORANG YANG BERGABUNG DENGANNYA
Adakalanya orang-orang yang
bergabung dengan Jama’ah Islam adalah di kalangan pendakwah yang beriltizam
dengan manhaj dan sistemnya. Di dalam hal ini hendaklah jama’ah Islam itu
menyelidik orang yang berharap ini dengan apa yang ia lihat padanya daripada
kemampuan dan kelemahan daripada berjanji dengan tuntutan-tuntutan akan apa
yang ia harapkan, apabila ia melihat keazaman untuk melaksanakan keinginannya
hendaklah diletakkan beberapa syarat tertentu kepadanya untuk dia berjanji dan
beriltizam dengan kuat, serta hendaklah berikrar taat setia. Kami suka untuk
mengatakan dengan apa yang dilakukan oleh Khidir kepada Musa a.s.
Sesungguhnya kami telah menceritakan
bahawa Musa a.s telah menyatakan kepada Khidir untuk bersahabat dan
mengikutinya, supaya ia dapat mempelajari ilmu yang diajarkan oleh Allah s.w.t
kepadanya. Maka jawab Khidir setelah ia dapat menyingkap pada diri Musa a.s,
bahawa Musa a.s tidak mampu bersabar segala apa yang ia akan lihat nanti,
kerana Musa a.s tidak tahu hikmah sebenar apa yang ia lakukan. Musa a.s telah
berjanji dengan berkata :
﴿قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي
لَكَ أَمْرًا﴾
"Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah orang yang sabar dan aku
tidak akan membantah sebarang perintahmu".[58]
Setelah itu Khidir meletakkan syarat kepadanya :
﴿قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّى
أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا﴾
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah
engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya
kepadamu".[59]
Selepas dapat menyingkap atau menyelidik, memberi syarat dan taat
setia di antara Khidir dan Musa a.s barulah mereka mula mengembara.
10. APABILA BERTEMBUNG DI ANTARA DUA KEROSAKAN, MAKA PILIH YANG
PALING RINGAN
Peristiwa Khidir membocorkan perahu menunjukkan dalil tentang
perbuatan yang mengandungi kemaslahatan yang amat jelas. Sesungguhnya apabila
bertembung di antara dua kemudharatan, maka pilih yang paling ringan untuk
menolak kemudharatan yang lebih besar. Kaedah ini memang diakui di dalam
syariat kita dan contohnya adalah amat banyak. Di antaranya mencacatkan harta
orang lain daripada dirampas kesemuanya, sebagaimana yang dilakukan oleh Khidir
dengan membocorkan perahu yang dinaikinya. Dia melakukan perkara tersebut
adalah untuk menyelamatkan perahu itu daripada dirampas oleh raja yang zalim,
kerana raja tersebut suka merampas setiap perahu yang masih baru dan elok.
Apabia raja tersebut melihatnya, maka dia tidak akan merampasnya kerana telah
bocor.
Maka kefahaman daripada peristiwa membocorkan perahu ini, membolehkan
para pendakwah menjadikannya tajuk pengajian, khutbah, nasihat atau sebagainya.
Sebagaimana sepatutnya para pendakwah itu mengambil faedah tentang apa yang
kami telah sebutkan ketika menghadapi perkara-perkara yang ganjil atau sukar.
Seperti dia perlu meninggalkan bercakap tentang pengajiannya atau khutbahnya
pada tempat-tempat atau masa-masa tertentu tentang syariat Islam, yang boleh
memberi kesan kemurkaan yang besar oleh pemerintah yang zalim menyebabkan
mereka menghalangnya daripada bercakap secara menyeluruh. Sesungguhnya
makna-makna Islam itu terlalu banyak sedangkan manusia pula amat berhajat
kepadanya dan hanya membenarkannya bercakap sesuatu perkara tanpa berlawanan
seperti aqidah Islam, oleh itu hendaklah para pendakwah memahami perkara ini.
11. KEBAIKAN IBU BAPA MEMBERI MANFAAT KEPADA ANAK-ANAK
Kami telah menceritakan tentang Khidir menegakkan kembali dinding yang
hampir roboh atau condong kemudian beliau menjelaskannya kepada Musa a.s sebab
dan hikmah ia melakukan perkara demikan. Allah s.w.t menceritakan :
﴿فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ
زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (81) وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ
يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا
صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا
كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ
تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا﴾
“Adapun tembok itu pula,
adalah kepunyaan dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada
"Harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang
yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat
mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu
(kepada mereka), dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku
sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang
engkau tidak dapat bersabar mengenainya".[60]
Imam Qurthubi berkata tentang “Dan bapa mereka pula adalah orang
yang soleh.” Menunjukkan bahawa Allah s.w.t memelihara orang soleh pada
dirinya dan juga anak-anaknya sekalipun mereka berjauhan.[61]
Imam Suyuthi juga mengatakan tentang ayat ini bahawa anak dipelihara
sebab kesolehan ayahnya.[62]
ANAK DIPELIHARA DENGAN SEBAB KESOLEHAN AYAHNYA
Pendakwah itu hendaklah menjadikan makna ini sebagai tajuk pengajian
atau khutbahnya. Mereka hendaklah menerangkan kepada manusia bahawa anak itu
dipelihara oleh Allah s.w.t dengan sebab kebaikan ibu bapanya. Ia adalah
hubungan sebab musabbab yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Perkara ini dapat
memberi semangat kepada mereka untuk melakukan amal soleh kerana ia dapat
memberi manfaat kepada anak-anak mereka. Ini kerana naluri manusia itu
mencintai anak-anaknya dan berlumba-lumba memberi manfaat pada mereka pada
waktu sekarang dan masa hadapan.
Orang yang beriman dengan Kitab Allah s.w.t itu hendaklah beriman
dengan ayat ini, dengan melakukan banyak amal soleh yang kelak dapat
memberi manfaat kepada anak-anak dan
menjadi sebab anak-anak akan dipelihara oleh Allah s.w.t.
12. PENDAKWAH DAN TETAMU
Kadang-kadang para pendakwah itu keluar untuk berdakwah ke
kampong-kampong, bandar-bandar dan lembah-lembah untuk berdakwah, maka adakah
harus bagi mereka memohon untuk menjadi tetamu pada penduduk kampong tersebut ?
Dan adakah harus bagi penduduk kampong itu menerima mereka sebagai
tetamu ?
Atau adakah tidak harus mereka melakukan demikian kerana mereka
keluar berdakwah dan tidak sepatutnya mereka menyusahkan penduduk kampong
tersebut untuk menerima mereka sebagai tetamu ?
Jawapannya :
Harus bagi pendakwah itu meminta untuk menjadi tetamu dan harus juga
bagi penduduk kampong menerimanya, apabila perlu. Para pendakwah itu tidak
boleh meminta untuk menjadi tetamu dan memaksa mereka menerimanya, kerana meraikan
tetamu itu adalah hak tuan rumah, dan tidak wajib orang yang mempuyai hak ini
menggunakannya apabila tidak ada kemudharatan.
Dalil apa yang kami jelaskan ini adalah berdasarkan kisah Khidir dan
Musa a.s, dan juga apa yang datang pada syariat kita apabila berhadapan dengan
tetamu, firman Allah s.w.t :
﴿فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا
أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا﴾
“Kemudian keduanya berjalan
lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka
meminta makanan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu
mereka”[63]
Istita’am bermaksud meminta makanan
daripada orang lain, maka ayat di sini bermaksud mereka meminta untuk menjadi
tatamu dengan dalil : “Lalu orang-orang itu enggan menjamu (menerima mereka
sebagai tetamu) mereka”. Zahir ayat ini menunjukkan mereka hanya bertanya
bolehkah mereka menjadi tetamu, jika ditolak tidak mengapa kerana tidaklah
layak bagi para Anbia’ dan Aulia’ itu memaksa seseorang menerima mereka sebagai
tetamu sekalipun mereka adalah golongan yang mulia.[64]
13. TETAMU DI DALAM SYARIAT KITA
Apa yang datang di dalam syariat kita sebagaimana yang diriwayatkan
oleh Imam Bukhari :
عَنْ عُقْبَةَ
بْنِ عَامِرٍ قَالَ قُلْنَا لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِنَّكَ تَبْعَثُنَا فَنَنْزِلُ
بِقَوْمٍ لاَ يَقْرُونَا فَمَا تَرَى فِيهِ فَقَالَ لَنَا إِنْ نَزَلْتُمْ
بِقَوْمٍ فَأُمِرَ لَكُمْ بِمَا يَنْبَغِي لِلضَّيْفِ فَاقْبَلُوا فَإِنْ لَم
يَفْعَلُوا فَخُذُوا مِنْهُمْ حَقَّ الضَّيْفِ.
“Daripada Uqbah Bin Amir r.a berkata
kami berkata “Ya Rasulullah sesungguhnya engkau diutuskan kepada kami, maka
kami turun pada satu kaum tetapi mereka tidak mengakui kami maka apakah
pandangan tuan tentang ini ? Sabda Nab s.a.w kepada kami “Sekiranya kamu pergi
bertemu dengan sesuatu kaum itu, maka diperintahkan kepada kamu melayan mereka
dengan baik sebagai tetamu, mereka boleh menerima kamu, jika mereka tidak
melakukan demikian, itu adalah hak mereka”[65]
Kata Ibn Hajar al A’sqalani di dalam
mensyarahkan hadith ini : Hadith ini menunjukkan tentang meraikan tetamu, apa
yang didahulukan oleh tuan rumah pada adat dengan makanan dan sebagainya adalah
wajib.
Jumhur ulama’ berpendapat meraikan
tetamu itu adalah sunat muakkad, mereka telah menjawab hadith ini dengan
pelbagai jawapan di antaranya :
Wajib meraikan tetamu pada mereka
yang benar-benar dalam kesusahan dan ini adalah pandangan Ibn Hajar al
A’sqalani.[66]
Pandangan yang rajih adalah wajib meraikan tetamu yang musafir di kawasan lembah sebagaimana pendapat Imam Ahmad, kerana
keperluan musafir di lembah-lembah itu amat perlu kepada makanan, dan pada
adatnya pula tidak terdapat makanan yang dijual. Tidak seperti di kawasan
perkampungan atau bandar. Sebagaimana susah ke atas orang yang musafir untuk
membawa setiap keperluannya daripada makanan dan demikian jugalah wajib
meraikan tetamu yang memerlukan di kawasan perlembahan.
15. PENDAKWAH HENDAKLAH BIJAK MEMILIH TUAN RUMAH YANG SESUAI APABILA
KELUAR BERDAKWAH
Sesungguhnya para pendakwah itu hendaklah pandai memilih tuan rumah
yang sesuai untuk mereka bertamu apabila keluar berdakwah kepada Allah s.w.t.
Apabila mereka melihat penduduk rumah atau kampong itu bersedia menerima mereka
sebagai tetamu, dan jika ditolak menyebabkan mereka terasa sedih dan marah,
maka pada keadaan ini pendakwah mesti menerima ajakan mereka sebagai wasilah
dakwah.
Apabila mereka melihat tuan rumah tidak bersedia menerima mereka
sebagai tetamu, kerana melihat pada tanda percakapan dan hal keadaan mereka,
maka para pendakwah mestilah menerimanya dengan adab yang baik.[67]
Terj : Mohd Faiz Abdullah
[1] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 260
[2] Tafsir Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 91), al Kasysyaaf
(juzu’ 2 hlm 730), Ibn A’thiyyah (juz’ 9 hlm 346), al Qurthubi
(juzu’ 11 hlm 8), al Qasimi (juzu’ 11 hlm 60)
[3] Tambahan penyusun : Nabi s.a.w bersabda “Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, apabila dia duduk di atas farwah(permukaan bumi) yang putih(tidak
bertanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang
menghijau” Riwayat Bukhari (3402)
[4] Riwayat Bukhari (3410)
[5] Surah al Kahfi 61
Tambahan
penyusun : Allah s.w.t memerintahkan Musa a.s agar
membawa seekor ikan yang telah mati dan dilumurkan garam, kemudian
meletakkannya di dalam sebuah bakul. Apabila sampai di pertemuan dua lautan
nanti Allah s.w.t akan menghidupkannya semula dan ia akan melompat daripada
bakul dan masuk ke dalam laut. Apabila berlaku demikian Musa a.s akan bertemu
dengan Khidir a.s.- Al Qasos al Qurani, Dr Solah al Khalidi hlm 309
[6] Surah al Kahfi 60-65
[7] Riwayat Bukhari (2552)
[8] Surah al Kahfi 60
[9] Ibn A’thiyyah (juzu’ 9 hlm 357)
Tambahan
penyusun : Zahir ilmu yang
diberikan pada Musa a.s adalah seperti hukum orang yang membunuh adalah salah
dan dikenakan had, tetapi ilmu yang diberikan pada Khidir a.s tidak salah
kerana ia adalah daripada wahyu dan rahsia-rahsia Allah s.w.t yang
diperintahkan kepadanya, wallhua’alam.
Syeikh
Sya’rawi mengatakan di dalam tafsirnya ilmu yang diajarkan pada Khidir a.s.
adalah ilmu secara langsung yang diajar oleh Allah s.w.t tanpa perantaraan
malaikat yang dinamakan sebagai ilmu Ladunni.
[10] Surah al Kahfi 82
[11] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 76)
[12] Tambahan
penyusun : Ulama’ berbeza
pendapat tentang masalah ini. Imam an Nawawi berkata dalam Syarah Muslim juzuk
ke 15, muka surat 135 - 136 pada Bab min Fadhail al Khidhir a.s, beliau
menyatakan:-JUMHUR ULAMA berpendapat bahawasanya Saidina Khidhir hayyun
maujudun baina adzharina (hidup dan wujud di kalangan kita, yakni di masa
kita ini) dan pendapat ini telah disepakati oleh para sufi dan ahlush sholah
wal ma'rifah (orang-orang ahli kebajikan dan ma'rifah). Cerita-cerita mereka
mengenai melihat dan bertemu dengan baginda dan mengambil pengajaran serta
bersoal-jawab dengan baginda, dan kehadiran baginda di tempat-tempat yang mulia
dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak daripada boleh dihitung dan
terlalu masyhur daripada boleh ditutup. Dan telah berkata Syaikh Abu Umar bin
as Solah: "Dia (yakni Nabi Khidhir) hidup menurut jumhur ulama dan
orang-orang soleh dan orang awam adalah beserta mereka dalam pegangan
ini". Dia juga berkata: "Bahawasanya adalah satu pandangan yang
ganjil daripada sesetengah muhadditsin pada mengingkari hal ini (yakni
sebahagian ahli hadits mengingkari bahawa Nabi Khidhir masih hidup). Bediuzzaman
Said Nursi di dalam al Maktub al Awwal, dari koleksi Rasail Nursi
menjawab satu soalan, adakah Saidina Khidir a.s masih hidup? Nursi menjawab ya,
kerana ‘hayyah’ itu 5 peringkat. Nabi Khidir di peringkat kedua.Lima
Peringkat itu ialah:
1.
Kehidupan kita sekarang yang banyak terikat pada masa dan tempat.
2.
Kehidupan Sayyidina Khidir dan Sayyidina Ilyas. Mereka mempunyai sedikit
kebebasan dari ikatan seperti kita. Mereka boleh berada di banyak tempat dalam
satu masa boleh makan dan minum bila mereka mahu. Para Auliya’ dan ahli kasyaf
telah meriwayatkan secara mutawatir akan wujudnya ‘hayah’ di peringkat ini.
Sehingga di dalam maqam ‘walayah’ ada dinamakan maqam Khidir.
3.Peringkat ketiga ini seperti kehidupan Nabi Idris dan Nabi Isa. Ustaz
Nursi berkata, peringkat ini kehidupan nurani yang menghampiri hayah malaikat.
4.Peringkat ini pula ialah kehidupan para syuhada’. Mereka tidak mati,
tetapi mereka hidup seperti disebut di dalam al Qur’an. Ustaz Nursi sendiri
pernah musyahadah peringkat kehidupan ini.
5.Dan yang tingkat Hayah ini atau
kehidupan rohani sekalian ahli kubur yang meninggal. Wallahhua’lam.
Subhanaka la ‘ilma lana innaka antal ‘alimul hakim
Jumhur ulama’ mengatakan dia adalah
Nabi berdasarkan ijtihad kerana tidak ada nas yang jelas, oleh yang demikian
tidak menjadi kafir bagi mereka yang
mengingkarinya-al Qasos al Qurani, Dr Solah al Khalidi hlm 306
[13] Riwayat Ahmad (14672)
[14] Surah Ali Imran 81
[15] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 86), Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm
99), Ibn A’thiyyah (juzu’ 9 hlm 386)
[16] Surah al Kahfi 66
[17] Surah al Kahfi 67-68
[18] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 96), al Qurthubi (juzu’ 11
hlm 17)
[19] Surah al Kahfi 69
[20] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 96), al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
734)
[21] Surah al Kahfi 70
[22] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 96), al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
734)
[23] Surah al Kahfi 71
[24] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 97)
[25] Surah al Kahfi 72
[26] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 97), Al Qasimi (juzu’ 11 hlm
64),
[27] Surah al Kahfi 73
[28] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 65)
[29] Surah al Kahfi 74
[30] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 65)
[31] Surah al Kahfi 75
[32] Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm 737)
[33] Surah al Kahfi 76
[34] Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm 736)
[35] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 97), Al Qasimi (juzu’ 11 hlm
66)
[36] Surah al Kahfi 77
[37] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 66)
[38] Ibn A’thiyyah (juzu’ 9 hlm 375)
[39] Surah al Kahfi 78
[40] Surah al Kahfi 79
[41] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 67)
[42] Surah al Kahfi 80-81
[43] Riwayat Ahmad (20298)
[44] Surah al Kahfi 80-81
[45] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 98)
[46] Surah al Kahfi 82
[47] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 99)
[48] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm267
[49] Surah al Isra’ 85
[50] Surah Thohaa 114
[51] Al Kasysyaaf (juzu’ 3 hlm 90), Fathul Bari (juzu’ 1
hlm 41)
[52] Surah Thohaa 114
[53] Fathul Bari (juzu’ 1 hlm 141)
[54] Riwayat Tirimizi (3559)
[55] Fathul Bari (juzu’ 1 hlm 175)
[56] Fathul Bari (juzu’ 1 hlm 227)
[57] Riwayat Bukhari (129)
[58] Surah al Kahfi 69
[59] Surah al Kahfi 70
[60] Surah al Kahfi 82
[61] Al Qurthubi (juzu’ 11 hlm 38)
[62] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 69)
[63] Surah al Kahfi 77
[64] Al Qurthubi (juzu’ 11 hlm 25)
[65] Riwayat Bukhari (2461)
[66] Fathul Bari (juzu’ 5 hlm 108), al Muhalla (juzu’ 9
hlm 174)
[67] Tambahan penyusun : Pengajaran-pengajaran di sisi Ibn Hajar
(Fathul Bari) dan an Nawawi (Syarah Sohih Muslim)-Al Qasos al Qurani, Dr
Solah al Khalidi hlm 328
1. Sunat mengembara menuntut ilmu
sekalipun jauh perjalanannya.
2. Sunat mohon ditambahkan ilmu, kerana
banyak lagi masalah yang kita tidak ketahui jawapannya.
3. Sunat menuntut ilmu di kalangan
mereka yang lebih alim dan berusaha mencarinya.
4. Kelebihan menuntut ilmu.
5. Harus membawa bekalan makanan
ketika musafir.
6. Beradab dengan orang alim atau
guru dan meninggalkan daripada membantahnya.
7. Menjelaskan apa yang tidak
difahami pada zahirnya dari segi perkataan, pergerakan dan perbuatan.
8. Menepati janji.
9. Harus mengambil sewa perahu.
10. Harus menaiki perahu atau menaiki
kenderaan tanpa membayar sewa jika diredhai oleh tuannya.
11. Hukuman pada zahir, sehinggalah
dijelaskan menyalahi zahir.
12. Sunat mendahulukan doa pada diri
sendiri kemudian orang lain pada urusan akhirat, dan mendahulukan orang lain
pada diri sendiri pada urusan dunia.
13. Harus berkhidmat pada orang alim
dan menunaikan hajatnya tanpa imbalan.
14. Galakkan merendah diri dalam
menuntut ilmu juga perkara lain.
15. Apabila ditanya kepada orang alim
“Siapakah manusia yang paling alim ?” Hendaklah dia berkata “Allahu A’alam”.
16. Harus berbahas di dalam ilmu
tanpa menyinggung perasaan.
17. Wajib merujuk kepada ahli ilmu
apabila berbalah di dalam sesuatu masaalah.
18.Sesungguhnya Allah s.w.t melakukan
pada kerajaanNya dan seluruh makhlukNya apa sahaja yang ia kehendakki.
19. Harus orang alim itu berkata
“Tanyalah kepada saya” tanpa rasa u’jub.
20. Dalil Hari Kebangkitan daripada
ikan yang telah mati dilumurkan garam, Allah s.w.t hidupkan kembali.
21. Sesungguhnya pembantu Nabi Musa
a.s dan khalifah kaumnya adalah Yusya’ Bin Nun.
22. Khadam wajib mentaati tuannya.
23. Manusia lemah mengelak daripada
lupa.
24. Harus menerima pemberian daripada
orang bukan Islam.
25. Harus meminta untuk menjadi
tetamu dan juga makanan.
26. Baik adab dengan Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan