KISAH
ASHABUL KAHFI
RINGKASAN
KISAH DAN TAFSIRAN AYAT-AYATNYA[1]
Syeikh
Abdul Karim Zaidan
1. KISAH ASHABUL KAHFI ADALAH SUATU
BUKTI YANG MENAKJUBKAN
Allah s.w.t berfirman :
﴿أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا
مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا﴾
“Adakah engkau menyangka (Wahai Muhammad), bahawa
kisah "Ashabul Kahfi" dan "Ar Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?”[2]
Kisah Ashabul Kahfi
adalah suatu bukti yang menakjubkan. Al Kahfi bermaksud sebuah gua yang
luas di dalam sebuah bukit[3].
Ar Raqim bermaksud nama anjing mereka. Pendapat lain mengatakan adalah
luh yang menceritakan tentang mereka dan diletakkan di hadapan pintu gua. Di
antara pendapat lain mengatakan nama bagi sebuah bukit. Pendapat lain lagi
mengatakan nama bagi sebuah lembah yang terletakkanya bukit tersebut.[4]
2. RINGKASAN
KISAH SEBELUM PERINCIAN
Allah s.w.t
berfirman :
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ
لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا﴾
(ingatkanlah
peristiwa) ketika serombongan para pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai
Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan
serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[5]
Allah s.w.t
menceritakan bahawa pada waktu dahulu ada sekumpulan pemuda yang telah lari
untuk menyelamatkan agama mereka. Mereka telah lari dan berlindung di sebuah
gua di dalam bukit. Bimbang kaum mereka yang zalim mencari, mereka telah berdoa
ketika masuk di dalam gua tersebut "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami
rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami
untuk keselamatan agama kami” Iaitu Ya Allah Ya Tuhan kami rahmatilah kami
dan lindungilah kami daripada mereka. Sehingga kami menjadi di kalangan
orang-orang yang mendapat petunjuk kebenaran dan pimpinlah kami di dalam segala
urusan kami.[6]
Sebagaimana datang di dalam hadith Nabi s.a.w :
وَمَا قَضَيْتَ لَنَا مِنْ قَضَاءٍ فَاجْعَلْ عَاقِبَتَهُ
رَشَدًا
“Dan apapun
yang Engkau tetapkan kepada kami, maka jadikanlah kesudahannya adalah
kebenaran”
2. TIDUR DI
DALAM GUA BEBERAPA TAHUN
Firman Alah
s.w.t :
﴿فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا﴾
“Kami menutup telinga-telinga mereka sehingga
mereka tidak dapat mendengar di dalam gua itu bertahun-tahun, yang banyak
bilangannya.[7]
Allah s.w.t
menutup telinga-telinga mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar bermaksud
Allah s.w.t menidurkan mereka dengan nyenyak sehingga tidak mendengar sebarang
suara. Sebagaimana engkau menjerit pada telinga seseorang yang tidur dalam
keadaan yang amat nyenyak, dia tidak akan dapat mendengar dan terjaga. “Yang
banyak bilangannya” bermaksud masa yang sangat lama.[8]
3. TERJAGA
SELEPAS TIDUR YANG PANJANG
Firman Allah
s.w.t :
﴿ثُمَّ
بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا﴾
“Kemudian
Kami bangkitkan mereka (dari tidur), untuk Kami menguji siapakah dari dua
golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka
hidup (dalam gua itu).[9]
Setelah beberapa
lama Allah s.w.t membangkitkan mereka seperti membangkitkan mayat daripada
perkuburan mereka. “Untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara
mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu)”
Allah membangkitkan mereka untuk mengajar mereka bahawa apa yang telah
Allah s.w.t ajarkan akan berlaku. Iaitu siapakah dari dua golongan yang berselisihan
tentang tempoh masa mereka tidur di dalam gua. Akhirnya mereka telah tahu
tempoh yang Allah s.w.t telah memelihara mereka tanpa makan dan minum serta
memelihara mereka daripada musuh. Maka sempurnalah petunjuk bagi mereka dan
jadilah bagi mereka bukti yang membangkitkan mereka untuk beribadah.[10]
4. MUQADDIMAH
PERINCIAN KISAH ASHABUL KAHFI
Firman Allah
s.w.t :
﴿نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى﴾
“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad)
perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang
beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”.[11]
Ayat ini
mengandungi kisah dan syarah yang luas. “Dengan benar” bermaksud kisah
ini benar-benar berlaku pada waktu ketika dahulu. Mereka adalah golongan pemuda
yang beriman dengan Allah s.w.t yang mengakui keesaanNya dan bersaksi bahawa
tiada Tuhan melainkan Dia, dan Allah s.w.t juga mengurniakan mereka hidayah
serta petunjuk.[12]
5. KAMI IKAT
HATI-HATI MEREKA
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا
رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ
قُلْنَا إِذًا شَطَطًا﴾
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan
kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegakkan Tauhid) lalu
berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan
bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika
kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang
jauh dari kebenaran."[13]
Allah s.w.t
menjaga mereka dengan memberi mereka kesabaran ketika mereka lari daripada
negeri untuk menyelamatkan agama yang
mereka anuti. Allah s.w.t mendorongkan mereka dengan bercakap benar dan
mengajak kepadaNya ketika berhadapan dengan raja yang kafir. FirmanNya “Semasa
mereka bangun” iatu ketika mereka bangun tanpa mempedulikan bahaya dan
mendedahkan kebenaran di hadapan raja tersebut. Ketika mereka ditanya tentang
agama yang mereka anuti mereka menjawabnya dengan benar dan mereka mengajaknya
kepada Allah Azzawajalla. Kerana inilah Allah s.w.t berfirman “Dan Kami
kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun
(menegakkan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta
dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang
lain dari padanya” Kami tidak menyembah Tuhan selain daripadaNya dan kami
tidak akan menyembah selain daripadanya selama-lamanya, kerana jika kami
melakukan yang demikian kami telah memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh
dari kebenaran, bohong lagi dusta.[14]
6. KAUM
MEREKA YANG INGKAR MENYEMBAH ALLAH S.W.T
Allah s.w.t
menceritakan tentang keingkaran kaum merka yang ingkar daripada menyembahNya :
﴿هَؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لَوْلَا
يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى
اللَّهِ كَذِبًا﴾
(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum
kita itu, menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka
mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang
mereka sembah itu? (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); maka tidak ada
yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.[15]
Mereka
menjadikan Tuhan yang lain selain daripada Allah s.w.t untuk menyembah.
Sepatutnya mereka membuktikan apa yang mereka sembah dan mengabdikan diri itu
adalah Tuhan dengan hujah dan bukti yang nyata. Dan mereka tidak akan mampu
mendatangkan bukti bahawa segala patung yang mereka sembah itu adalah Tuhan.
Mereka benar-benar zalim dengan melakukan pembohongan terhadap apa yang telah mereka lakukan dengan
menyembah selain Allah s.w.t, kerana pembohongan yang mereka lakukan itu adalah
pada tahap yang paling tertinggi dengan menyamakan Allah s.w.t dengan
selainNya.[16]
7. BERUZLAH
DAN LARI DENGAN MENYELAMATKAN AQIDAH DARIPADA FITNAH
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ
فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ
لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِرْفَقًا﴾
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri
dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah
kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada
kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan
memberikan bantuan yang berguna".[17]
Iaitu oleh
kerana kamu telah terpisah dan menyalahi dengan pegangan serta apa yang mereka
sembah, maka pisahkanlah juga bersama jasad-jasad kamu di gua itu, untuk
mendapat rahmat dan menyelamatkan kamu daripada kaum yang zalim. Dan
Allah s.w.t menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan
memberikan bantuan yang berguna.[18]
8. ALLAH
S.W.T MENJAGA PEMUDA KETIKA MEREKA BERADA DI DALAM GUA
Firman Allah
s.w.t
﴿وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزَاوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ
ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَتْ تَقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي
فَجْوَةٍ مِنْهُ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ
الْمُهْتَدِ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا﴾
“Dan engkau akan melihat matahari ketika
terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam,
meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua
itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah,
sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan
beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadaNya.[19]
Iaitu apabila
matahari terbit cahayanya condong ke kanan pintu gua dan apabila matahari
terbenam pula cahayanya condong ke sebelah kiri, sedangkan mereka berada di
tengah lapangan gua, yang dapat merasa udara daripada setiap penjuru tanpa
merasa panas matahari. Semua yang demikian itu adalah bukti kekuasaan Allah
s.w.t yang menjadikan mereka terus hidup dan apa yang Allah s.w.t lakukan pada
cahaya matahari itu adalah hendak mengisyaratkan terbit dan terbenamnya
matahari. Ia adalah suatu bentuk pertolongan daripada Allah s.w.t dan petunjuk
daripadaNya kepada orang-orang yang beriman. “Sesiapa yang diberi hidayah
petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan” ayat
ini menunjukkan kepada mereka yang berjihad kepada Allah s.w.t dan menyerahkan
diri kepadaNya. Sesungguhnya bagi setiap orang yang berjalan menempuh suatu
perjalanan untuk mendapatkan petunjuk mereka adalah golongan yang berjaya. Dan
sesiapa yang disesatkan oleh Allah s.w.t maka dia tidak akan sekali-kali akan
beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan jalan yang benar kepadaNya.[20]
9. ALLAH
S.W.T MENOLONG PEMUDA KETIKA MEREKA BERADA DI DALAM GUA
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ
الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ
لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ
رُعْبًا﴾
“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal
mereka tidur; dan Kami bolik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan
dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat
pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan
diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut
kepada mereka.[21]
Seseorang telah
menyangka bahawa mereka telah tidur kerana melihat mata terbuka, sedangkan
mereka sebenarnya telah tenggelam dalam tidur yang amat nyenyak yang juga tidak
dapat mendengar sebarang suara. Allah s.w.t membolak-balikkan jasad mereka
kekiri dan kekanan supaya tidak dirosakkan oleh tanah. Anjing mereka pula terus
kekal berada di pintu gua, ia menjadi seperti mereka yang terus tidur dengan
nyenyak. Kata Ibn Kathir : Ini adalah faedah apabila seseorang itu berkawan
dengan orang yang baik sebagaimana apa yang telah berlaku kepada anjing ini.
Firman Allah
s.w.t “Jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri
dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada
mereka” iaitu tidak ada seorang pun yang melihat mereka melainkan akan
takut dan berpaling, jauh dan lari daripada mereka apabila melihatnya. Kata Ibn
Kathir : Tidak ada seorang pun yang dekat kepada mereka dan tidak ada satu
tangan pun yang menyentuh mereka sehinggalah mereka sampai ajal sebagaimana
yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Perkara yang demikian itu mengandungi
hikmah, hujah dan rahmat yang luas.[22]
10. BANGKIT
DARIPADA TIDUR YANG PANJANG
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَكَذَلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ
قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ
قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ
هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ
بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا﴾
“Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka
(dari tidurnya), supaya mereka saling bertanya sesama sendiri. Salah seorang di
antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari)
mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari
sehari". (sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih mengetahui
tentang lamanya kamu tidur, sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa
wang perak kamu ini ke Bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih
mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ),
kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya, dan
hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar), dan
janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal
kamu.[23]
Setelah mereka tertidur
dengan begitu lama, maka Allah s.w.t membangkitkan mereka daripadanya dengan
tubuh yang sihat dan tanpa perubahan yang nyata pada rambut dan sebagainya
(sekalipun pada logiknya jika tidur yang panjang sehingga bertahun-tahun
mestilah rambut akan tumbuh memanjang). Tidak berubah sedikit pun keadaan
mereka sama seperti sebelum mereka tidur. Perkara ini menunjukkan tentang
kekuasaan Allah s.w.t tentang tidur, kematian dan kebangkitan. Kata Ibn Kathir
tidak berubah walaupun setelah 309 tahun. Mereka bertanya di antara satu sama
lain apa yang telah Allah s.w.t telah lakukan pada mereka. Mereka mengambil
pengajaran ke atas kebesaran Allah s.w.t, menyebabkan mereka bertambah yakin
dan mensyukuri ke atas nikmatNya.
Lalu salah
seorang mereka bertanya “Berapa lamakah kita telah tertidur di dalam gua ini
?”. Sebahagiannya menjawab “Mungkin kita telah tertidur selama sahari
suntuk atau mungkin setengah hari” Kerana mereka telah masuk ke dalam gua
itu pada awal hari dan terjaga pada pada waktu petang, oleh kerana itulah
sebahagiannya menjawab mungkin kita telah tertidur setengah hari. Sebahagiannya
pula berkata “Allah s.w.t lebih tahu berapa lama kita telah tertidur di
dalam gua ini” jawapan ini setelah di antaranya melihat di antara mereka
berbeza pendapat tentang berapa lama sesama mereka telah tertidur. Allah s.w.t
telah mengilhamkan kepada mereka tanda-tanda yang mereka telah tertidur dengan
waktu yang amat panjang, sebab itulah sebahagiannya mengatakan Allah s.w.t
lebih mengetahui.
Untuk mengetahui
lebih lanjut tentang urusan mereka itu, maka salah seorangnya diutuskan ke bandar
untuk membeli sedikit makanan dan minuman yang baik serta membekalkan padanya
beberapa dirham. Dia dipesan agar berhati-hati supaya jangan sampai dikenali
orang. Kerana jika penduduk bandar dapat mengenali mereka, ini boleh
menyebabkan mereka akan direjam dengan batu sehingga mati atau mereka dipaksa kembali
kepada agama asal. Jika mereka kembali kepada agama asal maka mereka akan rugi
selama-lamanya.[24]
11. URUSAN
MEREKA TERBONGKAR
Firman Allah
s.w.t :
﴿وَكَذَلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ
اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ
بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ
أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ
عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا﴾
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka
kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah
menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak
ada sebarang syak padanya, pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu
berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati, setelah
itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di
sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka".
Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata:
"Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka."[25]
Sebagaimana
Allah s.w.t telah menidurkan dan membangkitkan mereka, lalu Allah s.w.t
memperlihatkannya pada penduduk pada zaman itu. Ini supaya apabila penduduk di
zaman itu melihatnya, mereka akan mengetahui dan yakin bahawa janji Allah s.w.t
akan membangkitkan semua manusia setelah mati itu adalah benar. Keadaan mereka
yang tidur amat lama bertahun-tahun dan bangun semula adalah seperti keadaan orang
yang mati kemudian hidup semula. Sesungguhnya as Saa’h atau Hari Kiamat itu tidak ada keraguan lagi,
ianya pasti akan berlaku.
Allah s.w.t
memperlihatkan perkara ini kepada penduduk zaman itu adalah kerana mereka
sering berbantah-bantahan tentang Hari Kebangkitan kerana bagi mereka ia
mustahil akan berlaku. Sebahagian mereka mengatakan semua roh akan dibangkitkan
semua tanpa jasad dan sebahagiannya pula mengatakan dengan jasad. Lalu Allah
s.w.t mentaqdirkan peristiwa ini sebagai hujah kepada mereka bahawa Hari
Kebangkitan (dibangkitkan roh serta jasad) itu pasti akan berlaku.
Setelah pemuda
Ashabul Kahfi wafat, sebahagian manusia yang berbantah-bantah ketika melihat
peristiwa ini berkata "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka,
Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka" iaitu untuk
menutup pintu gua tersebut dan biarkan mereka dengan keadaan mereka. Walaubagaimanapun
pihak yang menang dalam pertelingkahan ini mengatakan “Binakanlah masjid di
gua ini supaya kita dapat mengambil berkat pada diri mereka.”[26]
Sebenarnya tindakan mereka dengan membina masjid ini tidaklah terpuji kerana
Nabi s.a.w telah bersabda :
لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا
قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ
“Allah s.w.t
melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kubur-kubur Nabi dan
orang-orang soleh di kalangan mereka sebagai masjid”[27]
Nabi s.a.w
memberi peringatan tentang tidak harus kita membina masjid di atas kubur kerana
larangan ini jelas di dalam hadith.[28]
12. BERAPAKAH
BILANGAN PEMUDA ASHABUL KAHFI
Firman Allah
s.w.t :
﴿سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ
خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ
وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ
إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ
فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا﴾
(sebahagian dari) mereka akan berkata:
"Bilangan Ashabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing
mereka " dan setengahnya pula berkata: "Bilangan mereka lima orang, yang
keenamnya ialah anjing mereka" secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu
yang tidak diketahui, dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka
tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (Wahai
Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang
mengetahui bilangannya melainkan sedikit" Oleh itu, janganlah engkau
berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan berbahas (secara
sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam al Quran), dan janganlah engkau
meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun dari golongan (yang
membincangkannya).[29]
Allah s.w.t
menceritakan tentang perselisihan pendapat manusia pada bilangan pemuda Ashabul
Kahfi. Allah s.w.t menceritakan tiga pendapat di kalangan mereka dengan
menyebutkan tidak ada pendapat yang keempat. Dan Allah s.w.t melemahkan dua
pendapat yang pertama dengan berfirman “Secara meraba-raba dalam gelap akan
sesuatu yang tidak diketahui” iaitu pendapat tanpa ilmu, kemudian Allah
s.w.t menceritakan pendapat yang ketiga dan senyap ke atasnya menunjukkannya ia
benar, jika salah pasti Allah s.w.t menolaknya seperti Dia menolaknya pada dua
pendapat yang pertama.
Allah s.w.t
menunjukkan bahawa mengetahui bilangan mereka dengan tepat sebenarnya tidaklah
mempunyai manfaat, firmanNya “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tuhanku
lebih mengetahui akan bilangan mereka” kerana yang terlebih baik itu adalah
mengembalikan pengetahuannya kepada Allah s.w.t, tidak perlu kita saling
berhujah dengan lebih mendalam jika tiada ilmu tentangnya, oleh itu apabila
kita mengkaji sesuatu hendaklah kita berhenti membincangkannya jika tiada ilmu
tentangnya. Firman Allah s.w.t “Tiada yang mengetahui bilangannya melainkan
sedikit” iaitu tidak ada yang mengetahui bilangan mereka melainkan sedikit
sahaja di kalangan manusia. “Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan
sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan berbahas (secara sederhana) yang
nyata (keterangannya di dalam al Quran) iaitu tidak perlulah ahli
kitab berbalah tentang bilangan pemuda Ashabul Kahfi melainkan berbincang
secara sederhana bukannya secara mendalam.
Firman Allah
s.w.t lagi “Dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka
kepada seseorang pun dari golongan (yang membincangkannya)” memadailah
Allah s.w.t memberikan wahyu kepada engkau wahai Muhammad tentang kisah mereka
dan apa yang berkaitan dengan hilangan mereka, perkara ini adalah memadai bagi
mereka yang inginkan I’tibar dan pengajaran.[30]
PENGAJARAN-PENGAJARAN
BAGI
PENDAKWAH DARIPADA KISAH ASHABUL KAHFI[31]
Kisah yang telah Allah s.w.t ceritakan kepada
kita ini sesungguhnya mengandungi teladan dan pengajaran yang besar khususnya
di dalam teknik-teknik berdakwah. Berdakwah kepada Allah s.w.t adalah berdakwah
kepada Islam. Kami akan menyebutkan pengajaran-pengajaran daripada kisah
Ashabul Kahfi ini.
1. PARA PEMUDA ITU LEBIH CEPAT MENERIMA DAKWAH
DARIPADA GOLONGAN YANG LAIN
Allah s.w.t menceritakan tentang pemuda Ashabul
Kahfi :
﴿نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى﴾
“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad)
perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang
beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.[32]
Kata Imam Ibn
Kathir mengenai ayat ini : Allah s.w.t menyebut mereka sebagai pemuda, mereka
menerima kebenaran dan petunjuk berbanding golongan tua yang tenggelam di dalam
agama yang batil, kerana itulah kita melihat ramai di kalangan orang-orang yang
menerima seruan Allah s.w.t dan RasulNya adalah di kalangan pemuda. Adapun
orang-orang tua di kalangan kafir Quraish masih kekal dengan agama lama dan
tidak ada di kalangan mereka yang menerima Islam melainkan sedikit. Demikianlah
Allah s.w.t menceritakan tentang Ashabul Kahfi bahawa mereka adalah di kalangan
pemuda.[33]
Maka ke atas
para pendakwah itu mereka hendaklah berusaha dengan sedaya-upaya bersama para
pemuda untuk menyampaikan dakwah kepada mereka dan memberi sepenuh kesungguhan
yang berterusan bersama mereka serta membawa mereka bersama-sama dengan gerakan
dakwah. Mereka itu mempunyai tenaga yang
kuat, semangat yang tinggi dan jiwa yang bersih yang amat diperlukan oleh para
pendakwah. Mereka adalah pemimpin masa hadapan yang perlu diajak kepada dakwah
Islam dan memberikan mereka tentang kefahaman Islam. Mereka perlu ditarbiah
sebaik mungkin.
Di antara
uslub-uslub dakwah bersama pemuda itu adalah dengan sentiasa memperdengarkan
mereka dengan pelbagai kisah yang baik yang terjadi di kalangan pemuda, tentang
bagaimana para pemuda dahulu sanggup berjihad membela agama Allah s.w.t
sekalipun terkorban nyawa di dalam medan peperangan. Dan demikian juga
kisah-kisah golongan yang angkuh, yang memenjarakan mereka yang menentangnya.
Seperti kisah Saidina Yusuf a.s yang dipenjarakan kerana menolak ajakan
berzina, baginda berkata sebagaimana diceritakan di dalam al Quran :
﴿قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي
إِلَيْهِ﴾
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan)
berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang
perempuan-perempuan itu ajak aku kepadaNya”[34]
Dan juga kisah
anak yang amat mentaati perintah kedua ibu bapanya seperti kisah Saidina Ismail
yang patuh kepada ayahnya untuk disembeleh.
2. IMAN ITU
BERTAMBAH DAN BERKURANG
Allah s.w.t
menceritakan “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada
Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Maka ayat
ini dijadikan dalil oleh para ulama’ seperti Imam Bukhari bahawa iman itu
bertambah dan berkurang kerana itulah Allah s.w.t menyebut “dan Kami tambahi
mereka dengan hidayah petunjuk.” Di dalam ayat yang lain juga Allah s.w.t
menyebut :
﴿وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ﴾
“Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima
petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk,
serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.[35]
﴿فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ
يَسْتَبْشِرُونَ﴾
“Adapun orang-orang yang beriman, maka surah
itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).[36]
﴿لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ﴾
“Supaya mereka bertambah iman dan yakin
beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada”[37]
Dan banyak lagi
ayat-ayat yang menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah.[38]
Maka bertambahnya iman itu dengan melakukan taat kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan
amal soleh. Amal yang paling afdhal selepas iman itu adalah jihad di jalan
Allah s.w.t. Sesungguhnya Imam Muslim telah mengeluarkan suatu hadith di dalam
sohihnya daripada Abu Zar r.a berkata :
يَا
رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ : الإِيمَانُ
بِاللَّهِ وَالْجِهَادُ فِى سَبِيلِهِ
“Ya
Rasulallah apakah amal yang paling afdhal ? Jawab Nabi s.a.w “Beriman kepada
Allah s.w.t dan berjihad di jalannya”[39]
Di antara jihad
di jalan Allah s.w.t itu adalah berdakwah kepada Islam seperti dengan
kata-kata, penulisan dan dengan apa sahaja yang boleh menyampaikan Islam. Maka
para pendakwah itu hendaklah menjelaskan makna ini kepada manusia kerana Islam
itu adalah tajuk dakwah kepada Allah s.w.t. Mereka hendaklah menyampaikan
kepada manusia bahawa perlunya menambah iman dengan melakukan banyak amal
soleh, dan sebaik-baik amal soleh selepas iman itu adalah berjihad di jalan
Allah s.w.t yang di antaranya itu adalah menyeru manusia kepada Islam.
3. ORANG
BERIMAN ITU SALING KENAL-MENGENALI
Semua ahli
Tafsir di kalangan salaf dan khalaf mengatakan bahawa para pemuda Ashabul Kahfi
adalah anak-anak pemimpin di kalangan
kaum mereka. Sesungguhnya pada suatu hari mereka telah keluar melihat
sebahagian perayaan kaum mereka yang berhimpun pada setiap tahun. Mereka
berhimpun di tengah-tengah negeri sambil menyembah berhala dan melakukan
upacara penyembelihan. Mereka mempunyai seorang raja yang kafir lagi zalim yang
menyuruh manusia melakukan demikian. Ketika mereka berhimpun, mereka para
pemuda telah keluar bersama bapa-bapa mereka dan melihat dengan mata hati
mereka pada apa yang dilakukan oleh kaum mereka yang kafir. Mereka tahu apa
yang dilakukan oleh kaum mereka seperti sujud kepada berhala dan melakukan
sembelihan adalah tidak sepatutnya melainkan kepada Allah s.w.t yang telah
menciptakan langit dan bumi. Lalu mereka duduk jauh daripada perayaan itu.
Maka pemuda yang
pertama duduk di bawah pokok, setelah itu yang lain pula datang kepadanya,
seorang demi seorang duduk berhampiran sesama mereka sedangkan mereka tidak
kenal di antara satu sama lain. Hanyasanya yang menghimpun mereka di bawah
pokok itu adalah hati-hati mereka yang beriman kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w
bersabda :
الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا
تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ.
“Ruh-ruh
manusia adalah kelompok yang selalu bersama, maka yang saling bersesuaian di
antara mereka akan saling dekat, dan yang tidak bersesuaian akan saling
berselisih”[40]
Setiap mereka
saling menyembunyikan keimanan masing-masing kerana bimbang tentang keselamatan
sedangkan mereka tidak sedar yang lain juga beriman seperti mereka. Sehinggalah
salah seorang di kalangan mereka berkata “Kamu tahu demi Allah wahai kaumku
sesungguhnya tidak adalah sesuatupun yang mengeluarkan kamu daripada kaum kamu
sekelian, telah zahir setiap satu di kalangan kamu akan perintahnya”
Berkata yang lain “Adapaun aku demi Allah sesungguhnya apa yang telah kaumku
lakukan adalah suatu perkara yang batil, sesungguhnya apa yang patut disembah
itu adalah Tuhan yang tidak ada sekutu bagiNya Dia adalah Tuhan yang telah
menciptakan langit, bumi dan apa yang ada di antaranya” Berkata pula yang
lain “Demi Allah ia juga berlaku padaku seperti yang kamu katakan”
Berkata pula yang lain seperti yang demikian, sehinggalah mereka sepakat ke
atas kalimah yang satu iaitu Kalimah Tauhid, dan mereka menjadi saudara yang
benar dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.[41]
Maka ada di
kalangan mereka telah mencadangkan agar mereka semua melarikan diri dan memilih
tempat yang jauh daripada kaum mereka. Ada yang berpendapat kita perlu
menjauhkan diri kerana benci terhadap apa yang mereka lakukan dan tidak
menyertai mereka dalam melakukan kebatilan sekalipun berada bersama mereka. Ada
juga di kalangan mereka yang diam tanpa berkata apa-apa. Akhirnya mereka
sepakat setelah saling kenal-mengenali, bersaudara dan saling tolong-menolong
dalam mencari tempat beribadah.
Maka pengajaran
yang boleh diambil di dalam kisah ini bagi para pendakwah adalah para pendakwah
itu hendaklah saling kenal-mengenali di kalangan mereka yang amat benci kepada
perkara kebatilan. Mereka perlu mengeratkan hubungan silaturrahim sehingga
darjat ukhwah Islamiah sesama mereka semakin meningkat. Saling tolong-menolong
dalam perkara kebaikan dan mengekalkan hubungan. Sesungguhnya para pemuda itu
apabila mereka saling kenal-mengenali dan bersaudara mereka akan menjadi kuat
di dalam satu jamaah di dalam asas keimanan dan berdakwah kepadanya, mereka
tidak boleh berpecah dan melakukan hal masing-masing. Tidak sepatutnya para
pendakwah itu mereka berdakwah kepada manusia secara umumnya dan meninggalkan
mereka. Bahkan tidak dapat tidak mereka perlu berdakwah dan mengenali mereka
serta berusaha mengikat mereka dengan gerakan dakwah, sehingga gerakan dakwah
menjadi kuat.
4. MENYATAKAN
KEBENARAN DI HADAPAN PEMIMPIN YANG TAGHUT
Kami telah
mengatakan sebelum ini: Sesungguhnya setelah para pemuda saling
kenal-mengenali, menyatakan aqidah, matlamat dan dakwah mereka yang satu,
mereka telah mencari tempat yang khusus untuk beribadah dan berkumpul.
Aktivivti mereka ini telah diketahui oleh kaum mereka dan melaporkannya pada
raja yang kafir. Lalu mereka ditangkap dan dibawa di hadapan raja. Setelah
mereka ditanya mereka menjawabnya dengan benar. Mereka cuba berdakwah kepada
raja dengan mengajaknya menyembah Allah s.w.t dan mengabdikan diri kepadaNya.
Walaubagaimanapun raja enggan dan menolaknya. Bahkan raja mengugut mereka jika setelah
mereka diberi tempoh dan mereka tidak mahu kembali kepada agama asal, mereka
semua akan disiksa sehingga mati.[42]
Tindakan mereka mengisytiharkan
kebenaran dan menyatakan keimanan pada Allah s.w.t di hadapan raja yang zalim ini,
adalah hasil kekuatan yang Allah s.w.t
berikan pada hati-hati mereka.
Maka pengajaran
yang boleh diambil adalah para pendakwah itu hendaklah berani dalam menyatakan
kebenaran dalam dakwah mereka di hadapan raja yang zalim lagi sombong. Mereka
perlu berani supaya dapat menguatkan lagi semangat orang-orang yang beriman yang
lain. Sesungguhnya pendirian para pendakwah ini sebagaimana yang telah kami
sebutkan adalah setelah mereka melihat dengan mata hati mereka, bahawa
menyatakan kebenaran di hapadan pemimpin yang zalim itu lebih baik daripada
mendiamkan diri tanpa sebarang kelonggaran.
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu mampu melihat untuk melakukan sesuatu tindakan
atau berpendirian yang benar dengan cahaya Allah s.w.t, sekalipun pendirian itu
boleh menyebabkannya terbunuh syahid. Pendakwah itu adalah mujahid dan jihad
itu mestilah sanggup mengorbankan nyawa untuk agama Allah s.w.t. Tidaklah
perbuatan ini dianggap mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Sebagaimana
sabda Nabi s.a.w :
سَيِّدُ
الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ المُطَلِّب وَ رَجُلٌ قَالَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ
فَأَمَرَهُ وَ نَهَاهُ فَقَتَلَهُ
“Penghulu
para syuhada’ itu adalah Hamzah Bin Abd Muthalib dan juga lelaki yang berada di
hadapan raja yang zalim lalu ia menyuruhnya melakukan kebaikan dan melarangnya
melakukan kejahatan menyebabkan akhirnya dia dibunuh”[43]
5. BERUZLAH
DAN BERHIJRAH
Kami telah
menyebutkan di dalam perenggan yang lalu, bahawa raja yang zalim itu telah
memberi tempoh kepada para pemuda supaya meninggalkan agama mereka, jika tidak
mereka semua akan dibunuh. Kata Ibn Kathir dalam mengulas perkara ini : Ini
adalah rahmat daripada Allah s.w.t, tempoh yang diberikan oleh raja boleh
digunakan oleh mereka untuk lari menyelamatkan diri dan agama. Tindakan ini
adalah masyru’ pada orang-orang yang beriman apabila mereka menghadapi situasi
begini. Sebagaimana telah datang di dalam hadith Rasulullah s.a.w :
يُوشِكُ
أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ المُسْلِمِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الجِبَالِ
وَمَوَاقِعَ القَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الفِتَنِ
“Akan berlaku di mana sebaik-baik harta orang Islam ialah kambing
yang ia mengekorinya ke puncak bukit dan di tempat mengalirnya air sebagai
laluan bagi mengelakkan agamanya dari fitnah”.[44]
Dalam keadaan
ini disyariatkan agar beruzlah dan tidak disyariatkan pula kita beruzlah lain
daripada keadaan ini dengan meninggalkan masyarakat.[45]
Menurut pendapat Ibn Kathir apabila suasana masyarakat kita tidak lagi aman,
hendaklah kita beruzlah daripada bercampur dengan mereka untuk menyelamatkan
agama kita, bahkan adakalanya perlu berhijrah ke negeri lain yang lebih
selamat. Apabila seseorang Islam itu tidak boleh lagi melaksanakan tuntutan
agamanya, maka harus baginya berhijrah ke negeri lain.
ALASAN-ALASAN
SESEORANG MUSLIM ITU HARUS BERHIJRAH DARIPADA NEGERINYA
Seseorang itu
harus atau perlu beruzlah jauh daripada masyarakatnya apabila mereka diancam
oleh pemerintah yang zalim kerana keimanan mereka kepada Allah s.w.t. Sedangkan
pada waktu itu mereka tidak mampu melawannya dan tidak mampu terus beramal
dengan ajaran agama. Maka wajib ke atas
pendakwah Islam apabila mereka mendapati dirinya tidak mampu mengamalkan
ajaran agama dan diancam dengan pelbagai ujian, mereka hendaklah berhijrah
daripada negerinya, sebagaimana wajib ke atasnya berhijrah apabila tidak mampu
menahan seksaan kerana mereka beragama Islam atau mengajak kepada Islam.
DALIL
PERLUNYA BERHIJRAH
Firman Allah
s.w.t :
﴿إِنَّ الَّذِينَ
تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ
قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ
اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ
وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97) إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ
وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا﴾
97.
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka
sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan
rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan
berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" mereka
menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat
bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu
berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu
keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu
adalah seburuk-buruk tempat kembali.
98. Kecuali
orang-orang yang lemah (lagi uzur) di kalangan kaum lelaki dan perempuan serta
kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan
tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).[46]
Kata Imam az
Zamakhsyari di dalam mentafsirkan ayat ini : Ayat ini adalah dalil bahawa
seseorang yang berada di dalam negerinya dan tidak mampu beribadah serta
melaksanakan Islam, dan dia tahu ada negeri lain yang boleh ia beribadat dan
melaksanakan Islam, maka harus baginya berhijrah.[47]
Kata Imam Ibn al
A’rabi al Maliki tentang alasan-alasan seseorang yang harus berhijrah : Lari
daripada seksaan ketika berada di negeri sendiri adalah kurnian dan kelonggaran
yang Allah s.w.t berikan. Apabila seseorang itu bimbang dirinya diseksa maka
harus baginya untuk keluar berhijrah. Orang yang pertama melakukan demikian
adalah Saidina Ibrahim a.s,[48]
firman Allah s.w.t :
﴿فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي
إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ﴾
“Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi
Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya
Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".[49]
Allah s.w.t
menceritakan tentang Musa a.s :
﴿فَخَرَجَ مِنْهَا خَائِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِي مِنَ
الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ﴾
“Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam
keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim ".[50]
JIKA TERDAPAT
KEMASLAHATAN YANG LEBIH BESAR LEBIH BAIK TIDAK BERU’ZLAH ATAU BERHIJRAH
Apabila
seseorang itu mampu bertahan di negerinya daripada segala gangguan atau seksaan
kerana agama yang ia anuti atau kerja-kerja dakwah yang ia lakukan, maka lebih
utama dia terus tinggal dan bertahan. Ini kerana kekalnya ia dapat mengukuhkan
lagi saudara-saudara Islamnya yang lain. Kemaslahatan ini adalah lebih besar
daripada dia berhijrah.
Kami ingin
mengatakan bahawa kaum Muslimin di zaman Rasulullah s.a.w pada awalnya,
sebahagian sahaja yang berhijrah ke Habsyah dan sebahagiannya lagi terus
bertahan di Makkah dengan pelbagai seksaan daripada kafir Quraish. Tindakan
sebahagian mereka yang terus bertahan ini adalah demi kemaslahatan yang lebih
besar untuk Islam dan kaum Muslimin yang lain.
Saya berpendapat
ke atas pendakwah itu perlu kekal di negeri mereka bersama-sama dengan kaum
Muslimin yang lain untuk untuk menguatkan mereka, dan janganlah mereka semua
berhijrah sehingga kosong negara mereka daripada pendakwah dengan sebab mereka
semua berhijrah. Mereka perlu terus kekal dengan cara bersembunyi sekalipun
dengan kadar yang sedikit dan dengan cara yang penuh berhati-hati tanpa
bertembung dengan pemerintah secara terang-terangan.
6.
KEPENTINGAN MENGAMBIL SEBAB-SEBAB YANG DISYARIATKAN
Para pendakwah
itu hendaklah mengambil pengajaran daripada kisah Ashabul Kahfi ini tentang
kepentingan mengambil sebab-sebab yang disyariatkan, perkara ini tidaklah
tercela pada Iman dan berlawanan dalam bertawakkal kepada Allah s.w.t. Di
antara dalil-dalil yang boleh saya sebutkan daripada kisah ini adalah :
1. Para pemuda
Ashabul Kahfi telah bersembunyi dan berlindung di dalam gua daripada kaum
mereka yang ingin membunuh mereka kerana tidak mahu kembali kepada agama asal,
firman Allah s.w.t :
﴿وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ
فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ
لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِرْفَقًا﴾
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri
dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah
kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada
kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan
memberikan bantuan yang berguna".[51]
Kata Imam Ibn
A’thiyyah : Ayat ini menceritakan tentang sebahagian mereka yang berkata kepada
sebahagian yang lain : Iaitu apabila kita lari daripada raja yang kafir lagi
zalim ini kita perlu menjadikan gua ini untuk berlindung dan kita bertawakkal
kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan Dia meluaskan rahmatNya kepada kita dan
memimpin urusan kita. Mereka semuanya bertawakkal kepada Allah s.w.t dengan
sebab-sebab yang ada daripada kekejaman orang-orang kafir. Dan Allah s.w.t
memelihara mereka di dalam gua tersebut. [52]
2. Firman Allah
s.w.t menceritakan tentang mereka :
﴿وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزَاوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ
ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَتْ تَقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي
فَجْوَةٍ مِنْهُ﴾
“Dan engkau akan melihat matahari ketika
terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka, dan apabila ia terbenam,
meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua
itu.[53]
Juga di dalam
ayat :
﴿وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ﴾
“Dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya
ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri”[54]
Tafsiran ayat
yang pertama adalah : Apabila cahaya matahari condong ke kanan maka menandakan
ia terbit dan apabila cahayanya condong kekiri menandakan ia terbenam, ini
dapat mengelakkan mereka daripada panas cahaya matahari yang boleh menyakiti
dan mengubah warna tubuh mereka.[55]
Daripada Ibn Abbas r.a. berkata : Kalaulah cahaya matahari mengenai mereka maka
tubuh mereka boleh terbakar kerana terlalu panas.[56]
Tafsiran ayat yang kedua pula sebagaimana kata Ibn Abbas r.a : Allah s.w.t
membolak-balikkan mereka kekiri dan kekanan adalah supya bumi tidak memakan
tubuh-tubuh mereka.[57]
Wajah Dilalah di
dalam dua ayat ini adalah : Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengelakkan cahaya
matahari daripada mengenai mereka dan juga membolak-balikkan tubuh mereka,
inilah yang menyebabkan tubuh mereka kekal tanpa dibakar oleh cahaya matahari
serta bumi juga tidak boleh memakan jasad mereka. Sekiranya Allah s.w.t
menghendakki, maka Allah s.w.t boleh memelihara mereka dengan membiarkan mereka
di bawah cahaya matahari dan tanpa membolak-balikkan tubuh mereka. Tetapi apa
yang Allah s.w.t telah lakukan adalah kerana ingin mengajar kita tentang
mengambil sebab itu tidak menafikan keimanan. Sesungguhnya segala urusan
keduniaan yang telah Allah s.w.t jadikan
terikat dengan sebab-musabab, ini adalah sunnah umum, melainkan apa yang ia
kehendaki yang keluar daripada sunnahnya seperti kisah Ashabul Kahfi ini, di
mana mereka boleh hidup 300 tahun lebih tanpa makan dan minum.
3. Para pemuda
Ashabul Kahfi telah membawa beberapa wang dirham ketika mereka lari daripada
negeri dan bersembunyi di dalam gua. Ini ditunjukkan di dalam ayat al Quran
ketika salah seorang di kalangan mereka disuruh membeli makanan di bandar
dengan membawa beberapa dirham, menunjukkan mereka sentiasa membawa wang,
firman Allah s.w.t :
﴿فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ
فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ﴾
“Sekarang utuslah salah seorang dari kamu,
membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih
mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ),
kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya”[58]
KESIMPULAN
DARIPADA MENGAMBIL SEBAB
Kata Imam Ibn
Taimiah : Tidak ada sesuatu pun di dunia ini dan juga di akhirat melainkan ada
sebabnya, dan Allah s.w.t lah yang telah menciptakan sebab musabab ini.[59]
Kata Imam Ibn
Qayyim : Al Quran itu dipenuhi dengan susunan hukum-hakam alam dan syariat,
pahala dan dosa mengikut sebab-sebab dengan jalan yang pelbagai. Adakalanya ia
datang dengan Ba’ Sababiah seperti di dalam ayat :
﴿كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ
الْخَالِيَةِ﴾
(masing-masing dipersilakan menikmatinya
Dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai
nikmat Yang lazat dan baik kesudahannya, Dengan sebab (amal-amal soleh) Yang
telah kamu kerjakan pada masa Yang lalu (di dunia)!"[60]
Adakalanya ia
datang dengan Lam :
﴿الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ
الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ
الْحَمِيدِ﴾
“Alif, Laam, Raa'. ini ialah Kitab (Al-Quran)
Kami turunkan dia kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat
manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin
Tuhan mereka - ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.[61]
Adakalanya
dengan menyebut sifat yang diperlukan untuk menjadi sebab kepada sesuatu :
﴿وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا﴾
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah
akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),[62]
Maka Allah s.w.t
telah menetapkan segala hikmahnya itu dengan sebab musabab.[63]
Maka ke atas pendakwah itu mereka mestilah faham dengan baik sunnah Allah s.w.t
di dalam perkara sebab dan musabab ini seperti menyediakan kekuatan maddiah dan
memperbanyakkan bilangan mereka.
7.
BERHATI-HATI
Allah s.w.t
telah menceritakan kitika mereka bangun daripada tidur :
﴿فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ
فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ
وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا﴾
“Sekarang utuslah salah seorang dari kamu,
membawa wang perak kamu ini ke Bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih
mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ),
kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya, dan
hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar), dan
janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal
kamu.[64]
Para pendakwah
itu mestilah berhati-hati di dalam segala tindakan dan gerak kerja mereka,
lebih-lebih lagi ia memang diperintahkan oleh syariat kita, firman Allah s.w.t
:
﴿وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ
طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا
فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا
فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ وَدَّ الَّذِينَ
كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ
عَلَيْكُمْ مَيْلَةً وَاحِدَةً﴾
“Dan apabila engkau (Wahai Muhammad) berada dalam
kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan
(menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang)
bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing, kemudian
apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk
menjaga serbuan musuh), dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang
belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka
bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah
berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing, orang-orang kafir memang
suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan
jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.[65]
Ayat ini
menunjukkan kepada kita tentang wajibnya berhati-hati, bahkan ayat ini menjelaskan
kepada kita bagaimana untuk menunaikan solat Khauf ketika medan perang. Maka
golongan pendakwah dan ahli gerakan Islam mereka mestilah kuat berhati-hati di
dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah daripada dapat dihidu oleh pihak musuh.
PERINGATAN
KEPADA PARA PENDAKWAH JIKA TIDAK BERHATI-HATI
Para pendakwah
itu perlulah beringat daripada tidak berhati-hati. Sesungguhnya tindakan
berhati-hati itu adalah di antara sifat-sifat Ahlul Iman yang faham tentang
Sunnatullah. Tidak berhati-hati di dalam bertindak itu adalah sifat-sifat orang
yang bodoh dan pendek akal kerana mereka tidak melihat kepada yang lebih jauh
daripada keangkuhan mereka.
Sesungguhnya
perbezaan di antara orang yang bijak dan orang yang bodoh adalah orang yang
bijak itu dia mengetahui bahaya sebelum jatuh lalu ia berhati-hati dengannya,
adapun orang yang bodoh itu dia tidak mengambil berat tentang berhati-hati
melainkan setelah ia terjatuh. Maka inilah perbezaan di antara orang yang
mengerti dan orang yang jahil dengan Sunnatullah. Orang yang jahil menganggap
tindakan berhati-hati yang dilakukan oleh orang yang berakal adalah tindakan
yang penakut dan pengecut. Banyak para pendakwah yang terkesan dengan tuduhan
ini menyebabkan mereka bertindak tanpa berhati-hati. Apabila tindakan berhati-hati
itu dituntut pada setiap orang Islam, maka ia lebih-lebih lagi dituntut pada
para pendakwah dan ahli gerakan Islam. Dan gerakan Islam itu mestilah sentiasa
mengingatkan ahli mereka supaya sentiasa berhati-hati.
8.
BERSEBUK-SEBUK DENGAN PERKARA YANG LEBIH PENTING
Setelah mereka
bangun daripada tidur, mereka telah bertanya di antara satu sama lain tentang
berapa lamakah mereka telah tertidur di dalam gua tersebut. Maka salah seorang
daripada mereka menjawab mungkin sehari atau setengah hari. Tetapi seorang di
kalangan mereka telah berkata Allah s.w.t lebih tahu berapa lama kita tidur di
dalam gua ini. Akhirnya salah seorang di kalangan mereka diutuskan ke bandar
untuk membeli sedikit makanan dan minuman kerana itu lebih penting daripada
membahaskan berapa lamakah mereka tertidur.
Maka ke atas
pendakwah itu mereka mestilah mengambil pengajaran daripada kisah ini. Mereka
tidak boleh sama sekali berdebat di dalam perkara yang tidak penting, mereka
perlulah mengelak sedaya mungkin daripada berdebat atau berbalah sesama
sendiri. Apa yang lebih mustahak adalah mereka perlu berbahas dan berbincang
tentang stratigi, pengisian, penyampaian, tarbiah dakwah atau apa sahaja yang
amat berfaedah.
9. PENDAKWAH
TIDAK BOLEH MEMBUKA RAHSIA SAUDARANYA
Ketika salah
seorang sahabat di kalangan mereka diutuskan ke bandar untuk membeli makanan,
dia telah dipesan supaya berhati-hati dan jangan sampai sesiapa pun
mengenalinya. Maka ke atas pendakwah itu mereka mestilah ingat, apabila mereka
jatuh ke tangan pihak musuh, dipaksa untuk menceritakan segala aktiviti dakwah
mereka, dan yang paling keji lagi mereka akan menyeksa pendakwah yang ditangkap
ini sekalipun sehingga mati, tidak boleh pendakwah yang ditangkap ini membuka
rahsia-rahsia saudaranya. Menceritakan tempat mereka selalu berkumpul atau
rahsia-rahsia gerakan Islam yang mereka bergabung dengannya, sekalipun mereka
dipaksa dan diancam akan dibunuh jika tidak ahu melakukan apa yang mereka
kehendaki. Ini kerana seseorang Muslim itu tidak boleh menolak kebinasaan pada
dirinya pada orang lain.
10. TIDAK ADA
KESUSAHAN DI DALAM MEMILIH MAKANAN YANG BAIK
Berkata seorang
pemuda setelah dibangkitkan oleh Allah s.w.t “Sekarang utuslah salah seorang
dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari
dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di
situ), kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya” Ayat
ini menunjukkan mencari makanan yang halal lagi baik itu adalah masyru’. Makan
itu boleh menjamin kesihatan tubuh badan kerana itulah kita diperintahkan
supaya mencari makanan yang baik. Sebenarnya segala kenikmatan daripada makanan
dan minuman itu datangnya daripada Allah s.w.t untuk hamba-hambanya. Oleh itu
segala makanan yang diharuskan oleh Allah s.w.t tidak boleh kita haramkan.
Tidak ada pada mana-mana manhaj Islam untuk sampai kepada kesempurnaan dengan
mengharamkan makanan-makanan yang baik yang diharuskan oleh syara’dan tidak
harus juga kerana hendak menyeksa badan, firman Allah s.w.t :
﴿قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ
وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ
الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ
يَعْلَمُونَ﴾
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang
(berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk
hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki
yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat)
untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan
dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman
sahaja) pada Hari Kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan
Kami satu persatu bagi orang-orang Yyang (mahu) mengetahui.[66]
Maka wajib ke
atas para pendakwah memberi kefahaman kepada seluruh kaum Muslimin tentang apa
yang baik dihalalkan dan diharuskan oleh Allah s.w.t, dan apa yang keji
diharamkan olehNya. Tidak harus bagi seseorang Muslim itu mengharamkan ke atas
dirinya apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t, kerana mengharamkan sesuatu yang
baik pada diri itu bukanlah daripada manhaj-manhaj Islam di dalam membersihkan
jiwa. Sebagaimana yang disarankan oleh doktor supaya mengambil makanan tertentu
yang baik untuk badan maka sunat kita mengambilnya pada syara’ kerana badan itu
adalah tunggangan roh. Nabi s.a.w bersabda :
إنّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقّاً
“Sesungguhnya badan engkau mempunyai hak ke atas engkau”[67]
Terj : Mohd Faiz
Abdullah
[1] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 345
[2] Surah al Kahfi 9
[3] Tambahan penyusun : Kisah Ashabul Kahfi dikatakan berlaku di
sekitar su﴿atu tempat yang kini digelar Gunung Pion (Mt. of Pion). Di sana
terletak sebuah gua yang diberi nama Gua Tujuh Orang Peradu (The Cave Of The
Seven Sleepers) yang terletak di Efesus (Ephesus), Turki. Kisah tersebut
telah berlaku sekitar lebih daripada 1400 tahun yang lalu. Berkenaan dengan
sejarah itu, Allah
s.w.t telah menerangkan kisah yang terjadi terhadap pemuda-pemuda itu dalam al Quran. Kisah itu
dikatakan berlaku di tempat berkenaan pada zaman pemerintahan Maharaja Dikyanus (Decius)
sekitar tahun 249 sehingga 251 Masihi. Manakala peristiwa itu berakhir 309
tahun kemudian dan mula menjadi buah mulut masyarakat dunia khususnya kepada
penganut agama Kristian
dan Islam setelah terjaganya pemuda-pemuda beriman itu dari tidurnya pada zaman
pemerintahan Maharaja Theodosius II yang beragama Nasrani (Kristian)
sehinggalah sekarang. Pada zaman Theodosius itu, setelah berakhirnya peristiwa
ajaib itu, sebuah tempat ibadah (Gereja Nasrani) dahulu telah pun dibina.- http://ms.wikipedia.org/wiki/Ashabul_Kahfi
[4] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 9)
[5] Surah al Kahfi 10
[6] Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm 705)
[7]Surah al Kahfi 11
[8] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 10)
[9] Surah al Kahfi 12
[10] Al Qasimi (juzu’ 10 hlm 12)
[11] Surah al Kahfi 13
[12] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 74), Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
707)
[13] Surah al Kahfi 14
[14] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 74), Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
707)
[15] Surah al Kahfi 15
[16] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 13), Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
707)
[17] Surah al Kahfi 16
[18] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 75)
[19] Surah al Kahfi 17
[20] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 15), Al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
708)
[21] Surah al Kahfi 18
[22] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 76), Al Qasimi (juzu’ 11 hlm
16)
[23] Surah al Kahfi 19
[24] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 77), Al Qasimi (juzu’ 11 hlm
18), al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm 710)
[25] Surah al Kahfi 21
[26] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 77), al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
711)
[27] Riwayat Bukhari (1330)
[28] Al Qurthubi (juzu’ 10 hlm 379), Ibn Kathir (juzu’ 3
hlm 78), al Qasimi (juzu’ 11 hlm 21)
[29] Surah al Kahfi 22
[30] Al Qasimi (juzu’ 11 hlm 23), al Kasysyaf (juzu’ 2 hlm
712)
[31] Al Mustafad min Qasas al Quran, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 380
[32] Surah al Kahfi 13
[33] Ibn Kathir (juzu’ 2 hlm 73)
[34] Surah Yusuf 33
[35] Surah Muhammad 17
[36] Surah at Taubah 124
[37] Surah al Fath 4
[38] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 74)
[39] Riwayat Muslim (260)
[40] Riwayat Bukhari (3336)
[41] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 74)
[42] Ibn Kathir (juzu’ 3 hlm 74)
[43] Riwayat Hakim (4884)
[44] Riwayat Bukhari (19)
[45] Ibn Kathir (juzu’ 3 75)
[46] Surah an Nisa’ 97-98
[47] Al Kasysyaf (juzu’ 1 hlm 555)
[48] Al Qurthubi (juzu’ 5 hlm 350)
[49] Surah al A’nkabut 26
[50] Surah al Qashas 21
[51] Surah al Kahfi 16
[52] Ibn Athiyyah (juzu’ 9 hlm 57)
[53] Surah al Kahfi 17
[54] Surah al Kahfi 18
[55] Al Qurthubi (juzu’ 10 hlm 369)
[56] Ibn A’thiyyah (juzu’ 9 hlm 276)
[57] Al Qurthubi (juzu’ 10 hlm 370)
[58] Surah al Kahfi 19
[59] Majmu’ al Fatawa (juzu’ 7 hlm 70)
[60] Surah al Haqqah 24
[61] Surah Ibrahim 1
[62] Surah at Thollaq 2
[63] Madarij as Salikin (juzu’ 3 hlm 478)
[64] Surah al Kahfi 19
[65] Surah an Nisa’ 102
[66] Surah al A’araf 32
[67] Majma’ az Zawaid (juzu’ 7 hlm 239)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan