Mengambil berkat dengan Nabi saw, athar
dan orang-orang soleh
Kata Syeikh Muhammad Alawi al Maliki ra :
Ramai di kalangan manusia yang salah
faham tentang hakikat Tabarruk dengan Nabi saw dan atharnya (peninggalannya),
ahli keluarganya dan para pewarisnya di kalangan para ulama’ dan aulia’. Mereka
menyifatkan Tabarruk adalah perbuatan yang haram, syirik dan sesat.
Banyak dalil menunjukkan Tabarruk
adalah harus di dalam syariat. Sesunggguhnya Tabarruk itu tidak lain tidak
bukan adalah meminta kepada Allah swt dengan perkara yang diberkati sama ada
berbentuk athar, tempat atau diri.
Bertabarruk dengan dengan sesuatu
benda atau athar, maka kita beri’tiqad bahawa kelebihannya itu daripada Allah
swt dan kita juga beri’tiqad bahawa benda itu tidaklah membawa manfaat atau
mudharat melainkan dengan izin Allah swt.
Bertabarruk dengan tempat itu tidaklah tempat itu berkelebihan kerana tempat itu sendiri, tetapi ia mulia kerana hamba-hamba Allah yang soleh di kalangan para Rasul atau aulia’ pernah bersembahyang di situ atau pernah melakukan ibadat di tempat itu, kerana tempat itu diturunkan rahmat, turunnya malaikat dan diseliputi sakinah, maka inilah keberkatan yang kita harapkan daripada Allah swt pada tempat-tempat ini.
Banyak dalil menunjukkan keharusan Tabarruk antaranya :
PARA SAHABAT BERTABARRUK DENGAN AIR
LEBIHAN WUDHU’ NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Bilal Bin Rabah
ra membawa air bekas
wudhu’ Rasulullah saw dan orang-orang berebut mendapatkannya. Orang yang mendapatkan
air bekas wudhu’ itu mengusapkannya ke tubuhnya, sedangkan yang tidak
mendapatkannya, mengambil dari tangan sahabat lain yang basah.” (Riwayat
Bukhari 5859)
Di dalam riwayat yang lain :
وَإِذَا تَوَضَّأَ النَّبِيُّ g كَادُوا
يَقْتَتِلُونَ عَلَى وَضُوئِهِ.
Apabila Nabi saw berwudhu’ para sahabat seperti berperang
untuk bertabarruk dengan lebihan air wudhu’ Nabi saw. (Riwayat Bukhari 189)
SAIDINA I’TBAN BIN MALIK RA
BERTABARRUK DENGAN TEMPAT NABI SAW BERSEMBAHYANG
Diriwayatkan bahawa I’tban Bin Malik
ra menjadi imam di kalangan kaumnya sedangkan ia buta, beliau berkata kepada
Nabi saw “Ya Rasulallah ! Sesungguhnya saya ini buta, kadang-kadang hari
menjadi gelap dan banjir, bolehkah tuan sembahyang di dalam rumah saya untuk
saya jadikan tempat sembahyang ?” Maka kata Nabi saw :
أَيْنَ تُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ
Di manakah tempat kamu suka aku
sembahyang ?
Maka ia menunjukkan tempat di dalam
rumahnya, lalu Nabi saw pun sembahyang. (Riwayat Bukhari 667)
SAIDINA SAHAL RA BERTABARRUK
DENGAN KAIN BURDAH NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Sahal Bin
Saad ra pernah meminta kain burdah Nabi saw untuk bertabarruk, kata beliau :
إِنِّي وَاللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِيَّاهَا لأَلْبَسَهَا وَلَكِنْ
سَأَلْتُهُ إِيَّاهَا لِتَكُونَ كَفَنِي.
Sesungguhnya demi Allah !
Tidaklah aku meminta kain ini untuk memakainya tetapi kain ini untuk
mengkafankan aku setelah aku mati. (Riwayat Bukhari 1277)
SAIDATINA ZAINAB RA DIKAFANKAN DENGAN KAIN NABI SAW
Diriwayatkan daripada Ummu A’thiyyah ra bahawa ketika
mana kami memandikan jenazah anak Nabi saw Zainab ra, Nabi saw menyuruh kami
memandikannya tiga kali atau lima kali atau lebih dengan air, bidara dan juga
akhirnya dengan kapur, setelah selesai Nabi saw memberikan kainnya untuk
dipakaikan kepada jenazah Zainab ra. (Riwayat Bukhari 1254)
SAIDINA UMAR RA BERTABARRUK DENGAN
KUBUR NABI SAW
Ketika mana Umar al Khattob ra hampir
wafat, beliau menyuruh anaknya Abdullah supaya meminta izin dikebumikan
jenazahnya di sebelah dua orang sahabatnya. Umar pesan kepada anaknya supaya beritahu
pada Aisyah ra, bahawa Umar minta izin, kata Umar ra :
فَإِنْ
أَذِنَتْ لِي فَأَدْخِلُونِي وَإِنْ رَدَّتْنِي رُدُّونِي إِلَى مَقَابِرِ
الْمُسْلِمِينَ
Sekiranya ia izinkan, kebumikan aku
di situ, jika ia tidak izinkan, kebumikan aku di kawasan perkuburan Muslimin. (Riwayat
Bukhari 3700)
TAHNIK DENGAN ORANG SOLEH
SEBAGAI TABARRUK
Kata Imam Muslim sunat bagi
mereka yang ada anak kecil supaya ditahnik oleh orang-orang soleh. Pernah
Saidatina Asma’ ra membawa anaknya Abdullah untuk ditahnik oleh Nabi saw, maka
Nabi saw meminta buah tamar dan mengunyahnya, kemudian menyapu air liyurnya
kepada Abdullah,
فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللهِ g
Maka air liyur Nabi saw adalah
yang pertama masuk ke dalam perutnya. (Riwayat Muslim 5741)
UMMU SULAIM RA BERTABARRUK DENGAN PELUH NABI SAW
Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik ra bahawa Ummu Sulaim ra
pernah membentangkan hamparan kulit pada Nabi saw untuk tidur, apabila Nabi saw
tidur, peluh telah keluar maka beliau mengesat peluh Nabi saw dan juga
mengambil rambut Nabi saw dan meletakkannya di dalam bekas kaca, apabila Nabi
saw terjaga baginda berkata :
يَا
أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا الَّذِى تَصْنَعِينَ؟ قَالَتْ هَذَا
عَرَقُكَ نَجْعَلُهُ فِى طِيبِنَا وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ الطِّيبِ.
Wahai Ummu Sulaim ! apa yang kamu lakukan ? maka
beliau berkata “Ini ialah peluh tuan, kami mahu menjadikannya minyak wangi
kerana ia sangatlah wangi daripada minyak wangi. (Riwayat Muslim 6201)
SAIDATINA ASMA’ RA BERTABARRUK DENGAN
JUBAH NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Aisyah ra
menyimpan jubah Nabi saw sehingga wafat, setelah itu Asma’ ra pula
menyimpannya, beliau berkata :
فَنَحْنُ نَغْسِلُهَا لِلْمَرْضَى يُسْتَشْفَى بِهَا.
Kami membasuhnya apabila sakit supaya diharapkan sembuh dengan sebab berkat jubah Nabi saw. (Riwayat Muslim 5530)
PARA SAHABAT BERTABARRUK DENGAN ATHAR
NABI SOLEH AS
Abdullah Bin Umar ra telah mengkhabarkan bahawa para sahabat pernah
singgah di Hijir perkampungan Tsamud
bersama Rasulullah saw, mereka minum daripada telaganya dan membuat adunan
roti dengan airnya, lalu Rasulullah saw memerintahkan mereka agar menumpahkan
apa yang mereka minum dan adunan roti yang mereka buat, Nabi saw memerintahkan :
أَنْ يَسْتَقُوا مِنَ الْبِئْرِ
الَّتِى كَانَتْ تَرِدُهَا النَّاقَةُ.
Hnedaklah kamu mencari air daripada telaga yang telah digunakan oleh
unta Nabi Soleh as. (Riwayat Muslim 7675)
Kata Imam an Nawawi ini adalah tabarruk
dengan athar solihin.
SAIDINA USAID BIN HUDHAIR RA
BERTABARRUK DENGAN BAJU NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Usaid Bin Hudhair
ra seorang sahabat Nabi saw yang suka berjenaka dan bergurau. Sekiranya ia
duduk bersama para sahabat Nabi saw yang lain, semua orang akan tertawa kerana
beliau suka bergurau. Nabi saw menyucuk pinggangnya. Beliau berkata “Engkau
telah menyakiti aku !” Kata Nabi saw “Ambillah qisas !” beliau berkata “Ya
Rasulallah ! sesungguhnya engkau ada baju sedangkan aku tidak ada baju” maka
Nabi saw memberi bajunya dan beliau mencium badan Nabi saw dan berkata :
إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ.
Sesungguhnya saya hanya mahukan ini
ya Rasulallah ! (Riwayat Abu Daud 5226)
NABI SAW
SEMBAHYANG DI GUNUNG TURSINA
Diriwayatkan
bahawa pada malam Isra’ Mi’raj, Nabi saw di bawa ke Masjidil Aqsa, sampai di
sebuah gunung, Jibril as menyuruh Nabi saw turun untuk sembahyang, kata Jibril
as :
أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ ؟ صَلَّيْتَ بِطُورِ سَيْنَاءَ حَيْثُ كَلَّمَ
اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلاَمُ
Adakah
engkau tahu di mana engkau sembahyang ? Sesungguhnya ini adalah tempat Allah
swt bercakap dengan Nabi Musa as. (Riwayat Nasaei 450)
Kata Imam as
Sindi ra “Ini adalah dasar yang besar pada mengambil berkat athar solihin dan
beribadat di tempat yang berkat. (Hasyiah as Sindi jld 1 hlm 222)
KEBERKATAN BAIT LAHAM
Pada malam Isra’ Nabi saw
dibawa oleh Jibril as, sampai di tengah jalan, Jibril as menyuruh Nabi saw
turun dan sembahyang, Jibril as bertanya tahukah engkau di mana engkau
bersembahyang ? Jawab Nabi saw wallahua’alam, kata Jibril as :
صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ
Engkau sembahyang di Bait
Laham tempat di mana Nabi Isa as dilahirkan. (Riwayat Nasaie 450)
Sesungguhnya Bait Laham itu
mulia kerana ia adalah tempat kelahiran Nabi Isa as, maka tempat lahir Nabi saw
dan tempat Nabi saw sembahyang lebih mulia begitu juga kuburnya.
SAIDINA
ABDULLAH BIN UMAR RA BERTABARRUK DENGAN BERTEDUH DI BAWAH POKOK
Diriwayatkan
bahawa Abdullah Bin Umar ra pernah berteduh di sebuah pokok, maka Imran al
Anshori ra bertanya , kenapa engkau duduk di bawah pokok ini ? Beliau menjawab
Nabi saw pernah berkata :
سُرَّ تَحْتَهَا سَبْعُونَ نَبِيًّا.
Dipokok yang
besar ini pernah berteduh di bawahnya
tujuh puluh para Nabi. (Riwayat Nasaie 2995)
BERTABARRUK DENGAN AIR ZAMZAM
Sesungguhnya para ulama’ telah sepakat bahawa air zamzam itu
mempunyai keberkatan dan berdoa dengannya. Bahkan kata Nabi saw :
مَاءُ
زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ
Air zamzam itu mengikut apa yang diniatkan. (Riwayat Ibnu
Majah 3062)
SAIDINA ABU AYYUB RA BERTABARRUK
DENGAN MAKANAN YANG DISENTUH NABI SAW
Sesungguhnya ketika mana Nabi saw
tinggal di rumah Abu Ayyub ra, beliau telah memasak makanan, tetapi Nabi saw
hanya menyentuhnya dan tidak makan, kata Nabi saw:
إِنَّ
فِيهِ بَصَلا فَكَرِهْتُ أَنْ آكُلَ مِنْ أَجْلِ الْمَلَكِ وَأَمَّا أَنْتُمْ
فَكُلُوهُ.
Sesungguhnya di dalam makanan itu ada
bawang, aku tidak makan bawang kerana malaikat akan datang kepadaku, adapun
kamu tidak mengapa memakannya. (Riwayat Ahmad 23616)
SAIDINA ABU AYYUB RA
BERTABARRUK DI KUBUR NABI SAW
Diriwayatkan daripada Daud Bin
Abi Soleh ra, bahawasanya Marwan telah melihat Abu Ayyub ra meletakkan wajahnya
di kubur Nabi saw dan ia bertanya tahukah apa yang sedang kamu lakukan ? Maka
jawab Abu Ayyub “Ya ! Aku datang kepada Nabi saw dan aku tidak datang kepada
batu, aku mendengar Nabi saw berkata:
لاَ
تَبْكُوا عَلَى الدِّينِ إِذَا وَلِيَهُ أَهْلُهُ وَلَكِنِ ابْكُوا عَلَيْهِ إِذَا
وَلِيَهُ غَيْرُ أَهْلِهِ.
Janganlah kamu menangis ke
atas agama apabila ia dijaga oleh ahlinya tetapi menangislah apabila ia dijaga
oleh yang bukan ahlinya. (Riwayat Ahmad 23633)
SAIDINA USAMAH BIN ZAID BERTABARRUK DI KUBUR NABI SAW
Daripada Ubaidullah ra berkata, aku
melihat Usamah Bin Zaid ra bersembahyang di sisi kubur Nabi saw, lalu Marwan
Bin al Hakam keluar dan berkata kepadanya, adakah engkau sembahyang di kubur
Nabi saw ? Kata Usamah, sesungguhnya aku amat mencintai Nabi saw. Lalu Marwan
berkata kepadanya dengan perkataan yang buruk. Kata Usamah, wahai Marwan !
Sesungguhnya engkau telah menyakiti aku dan aku mendengar Nabi saw berkata :
إِنَّ اللَّهَ يُبْغِضُ الْفَاحِشَ الْمُتَفَحِّشَ
Sesungguhnya Allah swt benci pada
orang yang keji dan melampau.
Dan engkau adalah orang yang keji dan
melampau. (Riwayat Ibnu Hibban 5694)
SAIDINA ABDULLAH BIN AZ ZUBAIR BERTABARRUK DENGAN
DARAH NABI SAW
Abdullah Bin Zubair ra berjumpa Nabi saw dalam keadaan
berbekam, setelah selesai Nabi saw menyuruhnya supaya membuang darah tersebut di
tempat yang tidak nampak oleh sesiapa pun. Setelah ia jauh daripada pandangan
Nabi saw ia minum darah tersebut, apabila ia pulang Nabi saw bertanya apa yang
engkau buat dengan darah itu ? Beliau menjawab aku telah
sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi
daripada orang ramai.
Baginda saw bersabda: "Kemungkinan engkau
telah meminumnya?" Beliau menjawab: "Ya". Nabi saw bersabda:
لِمَ شَرِبْتَ الدَّمَ ؟ وَيْلٌ لِلنَّاسِ مِنْكَ وَوَيْلٌ لَكَ
مِنَ النَّاسِ.
"Kenapa engkau minum
darah itu? Celakalah manusia daripada engkau dan celakalah engkau daripada
manusia." (Al Ahad wal Masani 578)
Dalam riwayat yang lain kata Nabi saw :
لَا تَمَسَّكُ
النَّار
Engkau tidak
akan disentuh oleh api neraka. (Riwayat Daraqutni 882)
SAIDINA ZAHIR RA BERTABARRUK DENGAN
DADA NABI SAW
Adalah Nabi saw sangat mencintai
Zahir, suatu hari Nabi saw pergi ke pasar dan ternampak Zahir sedang berdiri, Nabi saw memeluknya
daripada belakang, Zahir tahu orang yang memeluknya adalah Nabi saw dan berkata
“Aku biarkan belakangku disentuh dada Nabi saw supaya mendapat keberkatan. Kata
Nabi saw “Siapa yang mahu membeli hamba ini ? Zahir berkata “Ya Rasulallah !
Aku ini tidak ada harga ! kata Nabi saw :
لَكِنْ
عِنْدَ اللَّهِ لَسْتَ بِكَاسِدٍ أَوْ قَالَ لَكِنْ عِنْدَ اللَّهِ أَنْتَ غَالٍ.
Tetapi engkau di sisi Allah bukannya tidak ada harga
bahkan engkau mahal di sisiNya. (Riwayat Baihaqi 21704)
SAIDINA
SAFINAH RA BERTABARRUK DENGAN DARAH NABI SAW
Diriwayatkan
bahawa Nabi saw berbekam, setelah selesai Nabi saw menyuruh Safinah ra supaya
menanamnya, kata Nabi saw :
خُذْ
هَذَا الدَّمَ فَادْفِنْهُ مِنَ الدَّوَابِّ وَالطَّيْرِ والنَّاسِ.
Ambil darah ini dan tanam ia daripada
binatang, burung dan manusia.
Maka kata Safinah ra aku minum darah
itu dan memberitahu Nabi saw, dan Nabi saw tersenyum. (Riwayat Baihaqi 13790)
SAIDINA MALIK BIN SINAN BERTABARRUK
DENGAN DARAH NABI SAW
Diriwayatkan bahawa ketika peperangan
Uhud, Nabi saw telah tercedera, lalu datang Malik Bin Sinan ra menghisap darah
Nabi saw sehingga bersih. Nabi saw menyuruhnya supaya membuangnya, tapi beliau
enggan. Kata Nabi saw :
مَنْ أَرَادَ
أَنْ يَنْظُرَ إِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى هَذَا
فَاسْتُشْهِدَ.
Barangsiapa yang mahu melihat kepada
lelaki di kalangan ahli syurga, maka hendaklah ia melihat kepada lelaki ini,
setelah itu ia pun syahid. (Riwayat Baihaqi 2573)
IBNU SIRIN BERTABARRUK DENGAN RAMBUT
NABI SAW
Ibnu Sirin ra seorang tabi’in berkata: “Sehelai rambut Nabi
saw yang kumiliki lebih berharga daripada perak dan emas dan apa pun yang ada
di atas bumi mahupun di dalam bumi.” (Riwayat Baihaqi)
SAIDINA KHALID AL WALID BERTABARRUK DENGAN RAMBUT NABI SAW
Diriwayatkan daripada Ja’far Bin Abdullah ra bahawa kopiah
Khalid al Walid telah hilang, maka beliau menyuruh orang mencarinya sehingga
jumpa, apabila kopiah itu dijumpai, maka ia hanya kopiah yang lama, kata Khalid
“Nabi saw pernah melakukan umrah dan mencukur kepalanya, maka manusia
berebut-rebut mendapatkan rambut Nabi saw, dan aku juga mendapatkannya, dan aku
meletakkannya di dalam kopiah aku ini” kata beliau lagi :
لَمْ
أَشْهَدْ قِتَالا وَهِيَ مَعِي إِلا رُزِقْتُ النَّصْرَ.
Aku tidak pernah menghadiri sesuatu peperangan
semenjak aku membawa rambut Nabi saw di dalam kopiahku ini melainkan Allah swt
memberi aku kemenangan. (Riwayat Thobrani 3714)
SAIDINA ABU USAID RA BERTABARRUK DENGAN AIR LUDAHAN NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Abu Usaid ra mempunyai sebuah telaga yang
bernama telaga Budha’ah, Nabi saw pernah meludah ke dalamnya, maka ia minum air
telaga itu dan mengharapkan perkara yang baik daripadanya. (Riwayat Thobrani
15928)
SAIDINA ABDULLAH BIN UNAIS RA
BERTABARRUK DENGAN TONGKAT NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Nabi saw telah
memberi tongkat kecil kepada Abdullah Bin Unais ra, kata Nabi saw :
تَخَصَّرْ بِهَذِهِ حَتَّى تَلْقَانِي بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Gunakan tongkat ini sehingga engkau
bertemu aku pada hari kiamat.
Ketika ia hampir wafat ia mewasiatkan
supaya kebumikan tongkat itu bersama dengannya di dalam kubur. (Riwayat
Thobrani 101)
PARA SAHABAT BERTABARRUK DENGAN
RAMBUT DAN KUKU NABI SAW
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin
Zaid ra bahawa, Nabi saw pernah mencukur rambut dan memotong kuku, lalu Nabi
saw membahagikannya kepada para sahabat, mereka berkata, di sisi kami ada
rambut yang dicelup inai. (Riwayat Hakim 1744)
SAIDINA SAWADAH BIN AMRU RA
BERTABARRUK DENGAN MENCIUM BADAN NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Nabi saw pernah
mencucuk perut Sawadah Bin Amru dengan kayu siwak sehingga terluka, maka beliau
berkata saya mahu qisas !, para sahabat menghalangnya, apabila Nabi saw
mengangkat bajunya, beliau langsung mencium perut Nabi saw, beliau berkata :
ادعها لَكَ تَشْفَع لِي بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Berilah syafaat kepadaku pada hari Kiamat kelak. (Mushonnaf
Abd Razak 18038)
SAIDATINA UMMU SULAIM RA BERTABARRUK
DENGAN BEKAS YANG DISENTUH MULUT NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Nabi saw bertemu Ummu
Sulaim ra, di dalam rumah ada uncang air yang bergantung, lalu Nabi saw minum
daripada mulut uncang itu dalam keadaan berdiri. Kata Anas ra, Ummu Sulaim ra
telah memotong bekas mulut daripada uncang air tersebut dan menyimpannya untuk
mengambil berkat. (Riwayat Thobrani 20531)
SAIDINA YAHYA BIN AL HARIS RA BERTABARRUK
DENGAN MENCIUM TANGAN YANG PERNAH MENYENTUH NABI SAW
Kata Yahya Bin al Haris ra aku
bertemu Wasilah Bin al Asqa’ ra, aku berkata adakah tangan engkau ini berbaiah
dengan tangan Nabi saw ? Beliau menjawab ya ! maka aku berkata :
أَعْطِنِي يَدَكَ أُقَبِّلُهَا فَأَعْطَانِيهَا فَقَبَّلْتُهَا.
Berikan tangan engkau kepada aku, aku
mahu menciumnya, maka ia memberi tangannya lalu aku menciumnya. (Riwayat
Thobrani 17686)
SAIDINA IBNU UMAR RA BERTABARRUK
DENGAN MINBAR NABI SAW
Berkata al Qadhi I’yyadh ra,
diperlihatkan kepada Ibnu Umar ra bahawa minbar ini adalah tempat letak tangan
Nabi saw, maka beliau meletakkan mukanya pada tempat itu, adalah para sahabat
Nabi saw apabila masuk ke masjid Nabawi mereka akan menyentuh minbar Nabi saw
dengan tangan kanan mereka, lalu mereka menghadap kiblat dan berdoa memohon
keberkatan. (as Syifa, al Qadhi I’yyadh hlm 73)
BANI ISRAIL BERTABARRUK DENGAN PETI TABUT
Sesungguhnya Bani Israil pernah
memohon pertolongan pada Allah swt dengan keberkatan barang-barang peninggalan
Nabi Musa dan Nabi Haron as yang ada dalam peti Tabut seperti tongkat, baju,
kasut dan lembaran kitab Taurat. Ini disebut oleh Imam Ibnu Kathir, al Qurtubi
dan as Suyuti. Firman Allah swt :
﴿وَقَالَ
لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آيَةَ مُلْكِهِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ
سَكِينَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَى وَآلُ هَارُونَ
تَحْمِلُهُ الْمَلَائِكَةُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ﴾
Dan Nabi mereka mengatakan kepada
mereka: "Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut
kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari
peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa oleh Malaikat.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang
beriman. (Surah al Baqarah 248)
SAIDATINA UMMU HABIBAH RA BERTABARRUK
DENGAN AIR KENCING NABI SAW
Berkata al
Hafiz Ibnu Hajar ra telah meriwayatkan Abdul Razzaq daripada Ibnu Juraij,
beliau berkata: Aku diberitahu bahawa Nabi saw pernah buang air kecil ke dalam
sebuah bekas yang diperbuat daripada tembikar. Kemudian, baginda meletakkannya
di bawah katilnya. Apabila baginda hendak mengambilnya kembali, ternyata bekas
itu tidak mengandungi apa-apa. Nabi saw bertanya kepada seorang perempuan yang
bernama Barakah, pembantu Ummu Habibah ra yang datang bersamanya dari Habsyah,
"Di manakah air kencing di dalam bekas itu?" Beliau menjawab:
"Aku telah meminumnya." Rasulullah saw bersabda:
صِحَّةُ يَا أُمَّ يُوسُف
"Semoga engkau beroleh kesihatan, wahai Ummu
Yusuf!".
Selepas peristiwa itu, dia tidak pernah sakit, kecuali sakit
yang mengakibatkan kematiannya. (Talkhis al Habir, Ibnu Hajar jld 2 hlm32)
IMAM AHMAD BERTABARRUK DENGAN RAMBUT
NABI SAW
Kata Abdullah Bin Ahmad ra,”Aku
pernah melihat ayahku meletakkan sehelai rambut Nabi saw di bibirnya dan
menciumnya, kemudian ia meletakkan di atas matanya, kemudian ia rendamkan di
dalam air dan meminumnya sebagai penawar. (Siyar A’lam an Nubala’, az Zahabi
jili 11 hlm 212)
SAIDINA IBNU AL MUNKADIR RA
BERTABARRUK DI KUBUR NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Ibnu al Munkadir
ra ditimpa penyakit, maka beliau meletakkan pipinya pada kubur Nabi saw, beliau
berkata :
إِنَّهُ
يُصِيْبُنِي خَطَرٌ، فَإِذَا وَجَدْتُ ذَلِكَ، اسْتَعَنْتُ بِقَبْرِ النَّبِيِّ g
Sesungguhnya aku telah ditimpa sakit,
apabila aku mendapati yang demikian itu maka aku akan minta tolong pada Allah
swt dengan keberkatan kubur Nabi saw. (Siyar A’lam an Nubala’, az Zahabi jld 9
hlm 437)
SAIDINA BILAL BIN RABAH RA
BERTABARRUK DI KUBUR NABI SAW
Diriwayatkan bahawa Bilal Bin
Rabah ra tinggal di Syam selepas kewafatan Nabi saw, beliau telah bermimpi
bertemu dengan Nabi saw, Nabi saw tanya wahai Bilal kenapa engkau jauh, lama
kami tidak melihat engkau ? Apabila ia bangun ia sangat merindui Nabi saw. Maka
ia segera musafir menziarahi kubur Nabi saw. Apabila ia sampai, ia menepuk
tanah kubur Nabi saw pada dirinya sebagai tabarruk, ini berlaku pada zaman
Khilafah Umar al Khattob dan ia tidak menghalangnya. (as Syifa, Qadhi Iyyadh)
SAIDINA BILAL BIN AL HARITH RA
BERTABARRUK DI KUBUR NABI SAW
Pada zaman Umar al Khattab ra, umat
Islam telah ditimpa kemarau, lalu seorang sahabat Nabi saw bernama Bilal Bin al
Harith ra pergi ke kubur Nabi saw dan berdoa :
يَا رَسُولَ اللهِ اسْتَسْقِ لأُمَّتِكَ فَإِنَّهُمْ
قَدْ هَلَكُوا
Wahai Rasulullah! Mohonlah kepada Allah swt agar air hujan diturunkan
untuk umatmu, kerana sesungguhnya mereka telah mengalami bencana.
Kemudian Bilal mimpi bertemu Rasulullah
saw dan mengatakan kepadanya “Pergilah kepada
Umar dan sampai salam untuknya, beritahukan kepadanya mereka akan
diturunkan hujan. Katakanlah kepadanya “Bersikaplah bijaksana, bersikaplah
bijaksana”. Maka Bilal pergi kepada Umar ra dan menceritakan kepadanya akan hal
itu. Maka Umar menangis dan berkata “Ya Tuhanku aku tidak lalai kecuali
apa yang aku tidak mampu melakukannya” (Riwayat Ibn Abi Syaibah 32665].
Amalan Bilal di atas sama sekali tidak diingkari oleh Saidina Umar dan
selain beliau, bahkan mereka menilai perbuatan tersebut sebagai amalan yang
baik.
IMAM AL BUKHARI RA BERTABARRUK
DI KUBUR NABI SAW
Kata Imam az Zahabi ra “Adalah Imam
al Bukhari ra mengarang kitab at Tarikh di sisi kubur Nabi saw sebagai mengambil
berkat”. (Siyar A’lam an Nubala’, az Zahabi jld 14 hlm 400)
IMAM AL JAZARI BERTABARRUK DI KUBUR
IMAM MUSLIM RA
Imam Mulla Ali al Qari ra
meriwayatkan bahawa, Imam Syamsuddin Muhammad al Jazari berkata “Aku menziarahi
kubur Imam Muslim di Naisabur, dan aku membaca sebahagian Sohih Muslim untuk
mengambil berkat di sisi kuburnya” (Mirqatul Mafatih, Mulla Ali al Qari)
IMAM ABDUL GHANI AL MAQDISI RA
BERTABARRUK DI KUBUR IMAM AHMAD BIN HANBAL RA
Sesunguhnya Imam Abdul Ghani al
Maqdisi telah ditimpa sakit pada badannya sehingga luka, maka beliau telah
pergi ke kubur Imam Ahmad Bin Hanbal ra dan menyapu tempat sakit itu pada
kuburnya untuk bertabarruk, tidak lama kemudian sakit itu sembuh. Kata Imam ar
Rahuni di dalam Hasyiahnya atas az Zarqani “Manusia sentiasa bertabarruk di
kubur para ulama’, syuhada’ dan solihin.
MANUSIA
BERTABARRUK DI KUBUR SAIDINA ABU AYYUB RA
Apabila Abu Ayyub ra terbunuh
mati syahid di dalam satu peperangan di Qastantiniah Turki, beliau dikebumikan
di sana dan manusia sentiasa bertabarruk di kuburnya. (Tafsir al Khazin jld 1
hlm 123)
SAIDINA THABIT AL BUNANI RA
BERTABARRUK DENGAN SAIDINA ANAS BIN MALIK RA
Daripada Thabit al Bunani ra berkata
“Adalah aku apabila bertemu dengan Anas Bin Malik ra, aku akan memegang dua
tangannya dan akan menciumnya, aku berkata, demi ayahku ! Ini adalah dua tangan
yang telah menyentuh Rasulullah saw dan aku cium dua matanya, aku berkata,
بِأَبِي هَاتَيْنِ الْعَيْنَيْنِ اللَّتَيْنِ رَأَتَا رَسُولَ اللهِ g
Demi ayahku ! Ini adalah dua mata
yang telah melihat Rasulullah saw. (Riwayat Abu Ya’la 3491)
IMAM AS SYAFIE RA BERTABARRUK DI
KUBUR IMAM ABU HANIFAH RA
Kata Imam as Syafie ra “Sesungguhnya
aku selalu menziarahi kubur Imam Abu Hanifah ra, apabila aku ada hajat aku akan
sembahyang dua rakaat dan
وَسَأَلْتُ اللهَ تَعَالَى الحَاجَةَ عِنْدَهُ
Aku minta pada Allah swt di sisi
kuburnya (Thobaqat as Saniah, al Ghazzi hlm 46)
IMAM AHMAD BIN HANBAL RA BERTABARRUK DENGAN BAJU IMAM AS
SYAFIE RA
Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad Bin Hanbal ra membasuh baju
Imam as Syafie dan meminum airnya, ini adalah memuliakan ahli ilmu, maka
bagaimana pula kedudukan para sahabat dan athar para Anbia’ ?. (U’mdatul Qari
jld 14 hlm 471)
TEMPAT-TEMPAT MUSTAJAB BERDOA
Berkata Imam Syamsuddin Muhammad al Jazari, di antara
tempat-tempat yang mustajab berdoa itu adalah ketika melihat ka’bah, berada di
dalam masjid yang tiga, ketika towaf, di sisi Multazam, di sisi telaga zamzam,
sofa marwah, ketika sai’e, di belakang maqam Ibrahim, di Arafah, di Muzdalifah,
di Mina, di sisi Jamrah, di sisi kubur para Anbia’ dan juga aulia’. (I’ddatul
Hishni al Hashin hlm 70)
BERTABARRUK DENGAN BAJU NABI YUSUF AS
Sesungguhnya Nabi Ya’qob as sangat banyak menangis selepas
kehilangan Nabi Yusuf as sehingga matanya tidak nampak, kata Nabi Yusuf as
kepada abang-abangnya :
﴿اذْهَبُوا
بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا﴾
Pergilah kamu semua dengan baju ini, sapukanlah ia pada muka
ayahku, supaya ia dapat melihat semula. (Surah Yusuf 93)
Sesungguhnya baju Nabi Yusuf as itu
ada keberkatan yang besar dan juga penawar, baju itu disentuh oleh jasad Nabi
Yusuf as, maka lebih-lebih lagi baju Nabi saw dan peninggalannya yang mulia,
maka ini adalah dalil bahawa athar para Anbia’ dan solihin itu dapat menjadi
penawar dengan izin Allah swt.
IMAM AS SYAFIE RA BERTABARRUK
DENGAN BAJU IMAM AHMAD
Diriwayatkan bahawa Imam Rabi’
anak murid kepada Imam as Syafie ra pernah pergi ke Iraq dan menziarahi Imam
Ahmad ra. Imam Rabi’ ra memberikan surat daripada gurunya kepada Imam Ahmad ra.
Beliau bertanya “Apa
isinya, Wahai Abu Abdillah ?” Imam Ahmad menjelaskan bahawa Imam as Syafi ra
telah bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpi tersebut Rasulullah saw
bersabda, “Tuliskan surat kepada Imam Ahmad dan sampaikan salamku kepadanya.
Kemudian katakan padanya, sesungguhnya engkau akan mendapat ujian besar (Imam
Ahmad dipenjara pemerintah kerana masalah al Quran itu qadim bukannya makhluk).
Ketika itu jangan engkau turuti mereka maka Allah swt akan mengangkat namamu
hingga hari kiamat.”
Setelah mendengar itu, Imam Rabi’ pun berkata, “Ini kabar
gembira, Wahai Abu Abdillah.” Kemudian Imam Ahmad mencabut salah satu bajunya
yang berada di tubuhnya dan memberikannya kepada Imam Rabi’.
Kemudian
Imam Rabi’ ra pulang ke Mesir dan bertemu Imam as Syafie dan ia bertanya, “Apa
yang ia berikan ?” Imam Rabi’ menjawab, “Ia memberikan bajunya kepada engkau.”
Imam as Syafie melihat kegembiraan yang terpancar daripada Imam Rabi’ kerana
menerima baju tersebut. Kemudian Imam as Syafie berkata :
لَيْسَ نَفْجَعُكَ بِه وَلَكِنْ بُلَّهُ وَادْفَعْ إلَيَّ الْمَاءَ حَتَّى لَأَتَبَرُّك بِهِ
Kami bukanlah
hendak menyusahkan engkau dengan meminta engkau memberikan baju itu padaku.
Namun basahkanlah baju itu kemudian berikan air basuhannya kepadaku agar aku
bisa bertabarruk dengannya. (Thobaqat as Syafieyyah jld 2 hlm 36)
BERTABARRUK
DI SISI KUBUR SAYYIDAH NAFISAH RA
Berkata Imam
Ibnu Mulaqqin ra di dalam Thobaqat al Aulia’ “Sesungguhnya berdoa di sisi kubur
Sayyidah Nafisah ra itu adalah tempat yang ma’ruf dimustajabkan doa”.
IMAM YAHYA AN NAISABURI RA
BERTABARRUK DENGAN JUBAH IMAM AHMAD BIN HANBAL RA
Imam al Marwazi ra telah
menaqalkan bahawa Imam Yahya an Naisaburi ra telah mewasiatkan kepada Imam
Ahmad dengan jubahnya dan beliau berkata :
رَجُلٌ صَالِحٌ قَدْ أَطَاعَ اللَّهَ فِيهَا
أَتَبَرَّكُ بِهَا
Imam Ahmad adalah lelaki yang
soleh yang sangat taat kepada Allah swt, aku mahu mengambil berkat dengannya. (al
Furu’ jld 3 hlm 302)
IMAM AD DARAQUTHNI BERTABARRUK
DENGAN IMAM AL QAWWAS RA
Kata Imam ad Daraquthni :
كُنَّا
نتبَرَّكُ بِأَبِي الفَتْحِ القَوَّاسِ وَهُوَ صَبِيٌّ.
Kami bertabarruk dengan Imam
Abul Fatah al Qawwas ra semenjak beliau masih kanak-kanak. (Siyar A’alam an
Nubala’ jld 16 hlm 475)
IMAM AS SUBKI RA BERTABARRUK
DENGAN IMAM AN NAWAWI
Sesungguhnya Imam as Subki ra
pernah menziarahi Darul Hadis tempat Imam an Nawawi ra mengajar, beliau telah
menepuk hamparan Imam an Nawawi ke mukanya untuk bertabarruk, beliau berkata :
عَسَى أَنْ أمسَّ بحُرِّ وَجْهِي مَكَانًا مَسَّهُ قَدَمُ النَّوَاوِي
Mudah-mudahan aku dapat
menyentuh dengan mukaku ini akan tempat yang pernah disentuh kaki Imam an
Nawawi. (Thobaqat as Syafieyyah jld 8 hlm 396)
SOLEH BIN AHMAD RA BERTABARRUK
DENGAN BAJU AYAHNYA
Sesungguhnya Soleh Bin Ahmad
Bin Hanbal ra pernah berkata :
مَا
غَمَّنِي مَا ذَهَبَ إِلاَّ ثَوْبٌ لأَبِي كَانَ يُصَلِّي فِيْهِ أَتَبَرَّكُ بِهِ
وَأُصَلِّي فِيْهِ.
Tidaklah menyedihkan aku
daripada apa yang hilang melainkan baju ayahku yang ia selalu gunakan untuk
bersembahyang, aku bertabarruk dengannya dan aku sembahyang menggunakannya.
Ketika rumahnya terbakar,
mereka cuba selamatkan baju itu, dan baju itu masih elok. (Siyar A’lam an
Nubala’ jld 11 hlm 230)
MANUSIA
BERTABARRUK DENGAN IMAM AZ ZANJANI RA
Imam Abul Qasim az Zanjani ra adalah seorang ulama’ yang sangat zuhud, beliau pernah berkata, Allah swt membina untuk ahli hadis bagi setiap majlis ilmu yang mereka duduk dengan sebuah rumah di syurga, beliau wafat di Makkah, sewaktu hidupnya banyak manusia bertabarruk dengannya, bahkan kata Imam Ibnul Jauzi ra :
يُقَبِّلُوْنَ يَدَهُ أَكْثَرُ مِمَّا يُقَبِّلُوْنَ الْحَجَرَ الأَسْوَد
Manusia mencium tangannya
lebih ramai daripada manusia mencium Hajaratul Aswad. (Siyar A’lam an Nubala’
jld 18 hlm 386)
Kata Syeikh Muhammad Alawi al Maliki ra :
Sesungguhnya bertabarruk dengan Nabi saw, atharnya dan setiap
apa yang dinisbahkan kepadanya adalah sunnah dan jalan yang terpuji.
Mensyirikkan tabarruk adalah suatu kejahilan, bahkan ramai di kalangan para
sahabat yang amat mengambil berat tentangnya.
Kata Syeikh Umar Abdullah Kamil ra di dalam kitabnya al
Inshof :
Para ulama’ Ahlisunnah itu tidaklah mengharamkan tabarruk
melainkan jika berlebih-lebihan seperti apa yang dilakukan oleh kaum Syiah
terhadap kubur Saidina Husain ra dengan pelbagai perkara-perkara yang jelek. (al
Inshof hlm 525)
Terj : Mohd Faiz Abdullah 16 Ogos
2019-13 Zulhijjah 1440
Tiada ulasan:
Catat Ulasan